Umat Islam digesa henti budaya berbuka puasa secara mewah

SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa seluruh umat Islam di Malaysia menghentikan budaya berbuka puasa secara bermewahan pada bulan Ramadan.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dengan iklan berbuka puasa di hotel-hotel yang mewah, semangat Ramadan yang sebenarnya akan terhakis dan pembaziran menjadi sangat menonjol.

Katanya, umat Islam perlu insaf bahawa Ramadan tidak harus jadi pesta makan sehingga lupa matlamat berpuasa adalah untuk mendidik hidup berjiwa sederhana dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

“Apatah lagi dalam keadaan jutaan umat Islam ditindas di Palestin, Kashmir, India, Myanmar dan Turkistan Timur. Musibah yang melanda mereka sangat kritikal.

“Umat Islam menjadi mangsa sehingga mengalami kebuluran, hilang tempat kediaman, terpaksa hidup dalam keadaan daif tanpa makanan dan air bersih,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, umat Islam di Malaysia dicatat menyumbang kepada pembuangan makanan, terutama di bulan Ramadan pada tahap paling tidak munasabah.

Menurutnya, dilaporkan rakyat Malaysia membazir 16,720 tan makanan setiap hari di luar bulan Ramadan, manakala meningkat kepada 19,228 tan sehari pada bulan puasa.

“Ia lebih menyedihkan apabila lebih sejuta rakyat Gaza kini mengalami kebuluran sangat parah. Ada yang terpaksa makan makanan haiwan dan minum air laut untuk kelangsungan hidup, bulan Ramadan kali ini paling sukar untuk mereka.

“Oleh itu, kami menggesa Ramadan kali ini ditumpukan kepada usaha meningkatkan infaq untuk umat Islam yang tertindas,” jelasnya.

Mohd Azmi turut menyeru agar budaya membazir dihentikan serta-merta dan umat Islam kembali menumpu kepada amalan paling dituntut di bulan Ramadan, iaitu bersedekah untuk golongan yang memerlukan bantuan.-Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts