KUALA LUMPUR: Ketika umat Islam lain gembira mengimarahkan masjid, penduduk di khemah pelarian Rafah di Gaza terpaksa menunaikan solat tarawih di khemah masing-masing kerana tidak dibenar melakukan solat jemaah di masjid.
Asmaa Eslayeh, 31, yang kini berlindung di khemah Rafah berkata, meskipun serba kekurangan mereka bersyukur diberi kesempatan untuk beribadah di bulan Ramadan walaupun dengan keadaan ditekan.
“Alhamdulillah syukur atas segala-galanya. Kami tidak solat Terawih secara berjemaah Ramadan kali ini, kami tidak dibenarkan solat di masjid,” katanya ketika dihubungi BH.
Mengulas lanjut, Asmaa berkata solat berjemaah hanya dibenarkan di beberapa kawasan dan itu pun untuk masa yang sangat singkat.
Untuk tarawih, langsung tidak dibenarkan…. solat fardu pun hanya sekejap sahaja,” katanya.
Asmaa berkata, sudah menjadi kebiasaan penduduk di Rafah untuk makan hanya sekali sahaja sehari disebabkan bekalan makanan yang terhad.
“Penduduk di sini kalau bersahur mereka tidak akan ada juadah untuk berbuka… kalau berbuka pula, mereka tidak ada makanan untuk bersahur.
“Ada kalanya makanan sahur dan berbuka hanya makan makanan dalam tin (makanan bantuan),” katanya.
Serangan Israel terhadap Gaza memaksa keseluruhan 2.3 juta penduduknya menjadi pelarian, menyebabkan krisis kebuluran dan memusnahkan wilayah terbabit serta mengorbankan lebih 31,000 orang awam.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan lebih 13,000 kanak-kanak terbunuh dalam serangan di Gaza dan ramai lagi menderita akibat kekurangan zat serta kebuluran.
Sementara itu, aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memberitahu BH kesusahan dalam peperangan tidak menghalang kanak-kanak di Palestin menyambut bulan yang mulia itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu berkata apa yang sering disalahertikan ialah kanak-kanak di sana suram dan tidak menyambut.
“Benar, ada kawasan yang tidak membenarkan solat secara berjemaah dan solat tarawih dilakukan di kawasan khemah pelarian.
“Namun di kawasan yang musnah dikelilingi kehancuran, kanak-kanak Palestin tetap menyambut kedatangan Ramadan,” katanya.
Muhammad Nadir berkata, walaupun berdepan krisis makanan teruk, kanak-kanak Palestin ceria membuat tanglung daripada kertas untuk menghiasi khemah dan jalan-jalan.
“Ada juga kawasan mereka solat tarawih di atas runtuhan bangunan masjid. Pasukan sukarelawan di sana juga ada meminta untuk dilaksanakan projek beli pembesar suara dan mikrofon mudah alih untuk kegunaan masjid-masjid atau kawasan khemah serta sekolah untuk tarawih dan menghidupkan suasana Ramadan,” katanya.
Untuk tujuan itu, Pertubuhan Cinta Gaza Malaysia menyasarkan kutipan dana sebanyak RM10 juta.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM