Menghidupkan 10 malam terakhir dengan qiamullail

Adakah tarawih dikira sebagai qiamullail? Masih ada lagi sebahagian daripada kalangan masyarakat yang menganggap tarawih dan qiamullail adalah dua perkara yang berbeza.

Namun, hakikatnya solat tarawih di bulan Ramadan juga merupakan sebahagian daripada qiyamullail kerana yang dimaksudkan dengan qiamullail itu adalah menghidupkan malam untuk beribadah kepada Allah.

Maka, setiap amalan yang dilakukan pada malam bulan Ramadan termasuklah solat sunat tarawih juga dianggap sebagai menghidupkan malam-malam di bulan Ramadan. Ini dijelaskan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa yang membangunkan bulan Ramadan (menghidupkan) dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu” (Riwayat Al-Bukhari)

Terdapat hadis yang menceritakan tentang pelaksanaan tarawih bersama Rasulullah SAW. Hadis Nu’man bin Basyir RA: Ia berkata:

“Kami melaksanakan qiamullail (tarawih) bersama Rasulullah SAW pada malam 23 bulan Ramadan sampai sepertiga malam. Kemudian kami solat lagi bersama baginda pada malam 25 Ramadan (berakhir) sampai separuh malam. Kemudian baginda memimpin lagi pada malam 27 Ramadan sampai kami menyangka tidak akan sempat untuk sahur.” (HR. Nasa’i, Ahmad, Al Hakim)

Kemudian, ketika pemerintahan Saidina Umar, beliau pernah melantik Saidina Ubai menjadi imam tarawih dan beliau membaca dengan bacaan yang panjang sehingga ada sahabat yang mula memegang tongkat. Qiam ini selesai dilaksanakan sehingga terbit fajar. Kisah ini diceritakan oleh al-Sa’ib ibn Yazid:

أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، وَكَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ، وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلَّا فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ

“Umar ibn al-Khattab telah memerintahkan Ubai ibn Kaab dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam (mendirikan tarawih) sebanyak sebelas rakaat. Dan setiap mereka membaca ratusan ayat sehingga ada dalam kalangan kami yang mula bertongkat disebabkan panjangnya qiam mereka. Dan kami tidak beredar melainkan setelah beberapa ketika hampir waktu fajar (subuh). (Sunan al-Kubra li al-Baihaqi, no: 4287)

Malahan, terdapat ulama di kalangan tabiin yang dikenali sebagai Ibrahim bin Adham yang tidak tidur di malam hari untuk melaksanakan solat. Namun, hal ini tidak menjadi penghalang untuk beliau melakukan kerja sebagai petani di siang hari. Kisah ini diceritakan oleh Abu Nu’aim dari Abu Ishaq al-Fazari.

Begitulah semangat juang para sahabat dan ulama terdahulu menghidupkan bulan Ramadan dengan qiamullail. Ayuhlah kita mengambil teladan daripada kisah-kisah ini sebagai penyuntik semangat untuk kita terus melaksanakan qiamullail yang terbaik di bulan Ramadan kali ini.

Semoga Allah menemukan kita dengan Lailatul Qadar dalam keadaan kita sujud kepadaNya.

Ustazah Nabilah bt Mohd Zulkefli
Penyelidik MUIS

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts