Jangan lupakan Palestin dalam kesibukan sambut Aidilfitri

BANGI – Khutbah Jumaat berpesan kepada umat Islam di negara ini supaya tidak melupakan penderitaan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dalam kesibukan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam khutbahnya mengingatkan umat Islam terhadap konflik di Gaza yang sudah enam bulan berdepan serangan berterusan daripada rejim Zionis.

Dalam tempoh itu, seluruh Gaza hancur bahkan jumlah kematian terus meningkat dengan lebih separuh daripadanya adalah dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.

Katanya, rakyat Gaza masih dihujani peluru dan bedilan bom tatkala umat Islam di Malaysia sibuk menumpukan perhatian kepada baki Ramadan dan membuat persiapan Aidilfitri.

“Kita di sini sibuk menghias rumah dengan lampu dan pelita, manakala mereka di sana masih lagi tercari-cari tempat perlindungan buat mereka berteduh.

“Kita sibuk menyediakan juadah untuk hari raya manakala mereka ada yang sudah beberapa bulan tidak menjamah makanan.

“Kita sibuk memilih tema warna baju raya manakala pakaian mereka itulah yang dipakai sejak enam bulan lalu dan kini semakin tebal dengan debu-debu,” menurut khutbah.

Justeru, khutbah mengajak umat Islam untuk terus bermunajat berdoa kepada Allah khususnya di penghujung Ramadan ini, supaya rakyat Palestin diberikan pertolongan menghadapi rejim Zionis.

“Semoga bumi Palestin, terutamanya Masjid al-Aqsa kembali kepada tangan umat Islam dan mereka dapat membina negara dengan aman dan sejahtera sebagai selayaknya,” menurut khutbah. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts