Sedekah, pemberian duit raya tiada dalam Islam?

Pemberian dan sedekah duit raya ketika Syawal sudah menjadi amalan masyarakat kita sejak dahulu lagi. Rata-rata penerimanya ialah kanak-kanak, orang sudah berusia mahupun sanak saudara.

Banyak atau sedikit isi di dalam sampul raya itu, ia bukanlah ukurannya. Paling penting adalah keikhlasan hati si pemberi.

Sebagai penerima, tidak perlulah kita mempertikaikan pemberian orang lain. Sebaliknya, terimalah dengan penuh kesyukuran jika kita mendapat duit raya.

Namun begitu, masih ada segelintir orang menganggap bahawa pemberian dan sedekah duit raya itu bukan budaya Islam. Benarkah ia sememangnya tiada dalam agama suci kita?

Menerusi hantaran dan infografik yang dikongsikan di laman sosial Facebook Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, sedekah duit raya pada hakikatnya adalah amalan salafussoleh.

Buktinya, Imam Al-Zahabi dalam kitab Siyar A’lam an-Nubala’ menceritakan tentang Hammad bin Abi Sulayman, salah seorang guru Imam Abu Hanifah.

Katanya: “Dan telah sampai kepada kami suatu khabar bahawa Hammad ini seorang yang mempunyai kesenangan harta, beliau biasanya sering memberi makan buka puasa pada bulan Ramadan kepada 500 orang, dan beliau juga sering memberi setiap seorang itu, selepas hari raya Aidilfitri sebanyak 100 dirham.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pemberian duit raya kepada kaum keluarga dan jiran tetangga yang hadir berkunjung ke rumah pada 1 Syawal adalah harus hukumnya.

“Bahkan, ia juga bertepatan dengan usaha menzahirkan syiar Islam menerusi kegembiraan memberi dan menerima sedekah, mengeratkan silaturahim dan budaya kunjung-mengunjung,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #637: Hukum Memberikan Duit Raya yang disiarkan di laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.

Menerusi artikel sama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, konsep pemberian duit raya itu menepati perbuatan sedekah dalam Islam.

“Bahkan, amalan sedekah kepada ibu bapa termasuk antara ibadah yang sangat menguntungkan kerana ia menghasilkan tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu berbuat baik kepada orang tua, mengeratkan silaturahim dan pahala bersedekah itu sendiri.

“Begitu juga pemberian kepada kaum kerabat, sanak saudara dan seumpamanya. Ia turut mendapat dua pahala iaitu ganjaran bersedekah dan menghubungkan silaturahim,” katanya.

Dalam pada itu, pejabat mufti itu turut mencadangkan dhawabit (parameter) dalam pemberian sedekah duit raya ketika lebaran.

Berikut perinciannya:

1. Pemberian duit raya tidaklah dilakukan secara memaksa diri untuk memberi dalam jumlah yang besar.

2. Kelompok yang menerimanya perlu bersyukur dengan kadar diterima dan tidak mengungkit-ungkit. Sebaliknya, doakanlah kebaikan kepada pemberi.

3. Utamakanlah pemberian kepada golongan fakir, miskin dan mereka yang memerlukan.

Kepada mereka yang berkemampuan, teruskanlah amalan sedekah duit raya mengikut poket masing-masing. Bagi yang tidak mampu berbuat demikian, usah bersedih kerana ia bukanlah amalan ‘wajib’ dalam agama. – Sinar Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Khutbah AidilAdha 1438H : Ini negara perjuangan

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،…