BANGI- Hukum penggunaan Shopee Pay Later atau SPay Later dalam aplikasi e-dagang, Shopee adalah harus selaras dengan penambahbaikan polisi dan telah disemak serta disahkan oleh Sekuriti Syariah.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, kaedah SPay Later yang menggunapakai konsep ‘beli dulu, bayar kemudian’ diputuskan tidak patuh syariah atas sebab terdapat beberapa isu syarikat yang timbul membabitkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar yang dikenakan ke atas pengguna.
Bagaimanapun, Shopee memaklumkan telah mengubah struktur bayaran lewat pada polisi mereka, termasuk mengisytiharkan pelan pembayaran ansuran yang telah mendapat pengiktirafan daripada Suruhanjaya Sekuriti.
“Kini apabila pembeli lewat membayar, mereka tidak akan dikenakan caj lewat bayar seperti sebelum ini namun sebaliknya akaun SPay Later mereka akan dibekukan dan mereka perlu melakukan pembayaran denda RM10 untuk terus menggunakan perkhidmatan berkenaan.
“Pada masa sama, yuran pemprosesan untuk ansuran juga kini ditingkatkan kepada 1.5 peratus setiap bulan atas jumlah pembelian – berbeza dengan yuran dikenakan sebelum ini iaitu sebanyak 1.25 peratus,” katanya.
Oleh demikian, menurut pejabat mufti, apabila caj lewat bayar tidak lagi dikenakan, maka SPay Later tiada terdedah kepada elemen riba.
“Hal ini kerana sebagaimana yang telah kami nyatakan sebelum ini bahawa setiap hutang yang disertakan bayaran tambahan akibat berlaku kelewatan dalam pembayaran adalah termasuk dalam kategori Riba al-Qard.
“Rentetan daripada itu, perlu diketahui bahawa sesuatu hukum itu ditetapkan bergantung kepada kewujudan illah atau sebab ia ditetapkan, seperti mana hukum haram disabitkan dengan wujud sebab pengharamannya pada sesuatu perbuatan.
“Jika tiada sebab pengharamannya maka hukumnya tidak jatuh haram. Meskipun begitu, kami juga menasihati orang ramai agar berjaga-jaga dan berwaspada dalam berhutang,” katanya.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM