Guru penerus sunnah Nabi ﷺ teragung

Kesempurnaan alam dapat direalisasikan apabila diterajui oleh insan yang berilmu dan bertamadun. Pergantungan terhadap jasa dan sumbangan mereka adalah begitu penting di saat kebanyakan insan mengalami kejahilan dalam mengurus kehidupan. Hal ini kerana, insan yang berilmu umpama sebuah cahaya yang menerangi kehidupan kita sewaktu malam hari. Justeru, ilmu yang dimiliki itu juga cahaya dan aset yang penting dalam mengharungi kehidupan ini.

Namun begitu, tidak akan sempurna sesuatu ilmu itu tanpa ada hati yang suci. Perkara ini telah dibuktikan melalui kisah yang masyhur tentang kejadian asal usul iblis, kenapa ia dilaknat oleh Allah Ta’ala.

Antara yang pernah dikatakan bahawa iblis ini merupakan seorang malaikat yang soleh, alim dan abid berbanding dengan malaikat lain. Namun, apabila Allah Ta’ala sudah menciptakan makhluk yang bernama manusia, keadaan dia mula berubah. Akhir sekali, apabila Allah Ta’ala memerintahkan semua malaikat sujud kepada Nabi Adam A.S, malaikat semuanya sujud melainkan iblis ini. Alasan dia tidak mahu bersujud adalah kerana ciptaan dia lebih mulia daripada manusia daripada tanah. Di situ, sifat sombongnya dan keengganan untuk menurut perintah Allah Ta’ala semakin menebal. Terjadilah Allah Ta’ala melaknat dia sehingga hari kiamat muncul; disebabkan sifat sombong dan egonya itu. 

Kesan ilmu dengan kehadiran hati yang suci akan melahirkan akhlak dan tingkah laku yang baik. Faedahnya penutut ilmu itu akan membimbing dan memandu manusia ke jalan yang benar, bukan semata-mata menyimpan ilmu untuk dirinya sendiri. 

Kita sebagai orang mukmin perlu mengucapkan syukur tidak terhingga kepada pencetus kefahaman islam dan iman dalam kehidupan manusia kita hari ini. Iaitu Nabi Muhammad dan para sahabatnya. Tanpa jasa perjuangan dan pengorbanan mereka, manusia hari ini terus -menerus mengalami kegelapan dalam hidup. Kefahaman itu dapat diwariskan dengan baik walaupun jarak tahunnya 1400 tahun yang dahulu dengan melalui para tabiin, ulama salafussoleh dan ulama’ yang terkini. Justeru, hakikat insan yang berilmu itu adalah yang menyambung rantai perjuangan dalam kefahaman iman dan islam sepertimana yang dilakukan oleh ulama’ terdahulu. 

Kita tidak menafikan ilmu-ilmu bermanfaat lain yang dilihat masyarakat sekarang seperti tidak ada kaitan dengan islam dan iman, hakikatnya semua ilmu yang bermanfaat adalah datang dari sumber yang sama iaitu Islam, iaitu datang dari Allah Ta’ala pemilik segala ilmu. Melalui kefahaman islam, kita dituntut untuk menggunakan dan menghormati akal dengan sebaiknya. Berfikir dalam Islam adalah ibadah, mencari bukti adalah wajib dan menuntut ilmu adalah fardhu, sebagaimana kejumudan itu adalah keji dan taklid adalah kejahatan. 

Islam menuntut dari seorang muslim supaya mempunyai bukti-bukti tentang Tuhannya dan dakwahnya hendaklah “berlandaskan akal.” Iman seorang mukallid tidaklah diterima dan Islam tidak membenarkan penganutnya menjadi pengekor, berfikir dengan kepala orang lain, lalu ia mengikuti saja tanpa pemikiran dan pengertian. Bahkan ia harus berpikir, sendiri merenungkan dan memahami. 

“Barangsiapa yang dikehendaki Allah baginya kebaikan, maka diberikanNya kepadanya pengertian dalam soal-soal agama “

 Sebab itu tidaklah diragukan, bahawa pendidikan akal amat penting sepertimana pentingnya mendidik iman atau jiwa. Sebab perjalanan hidup manusia adalah gambaran dari pemikiran dan pandangannya. Bahkan Al-Quran sendiri menempatkan orang berilmu lebih terdahulu berbanding orang yang memiliki keimanan dan ketaatan, kedua-duanya adalah hasil dari ilmu atau cabang daripada Allah Ta’ala. Dia berfirman: 

(Dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahawasanya Al-Quran Itulah yang hak dari Tuhan-mu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya. Sesungguhnya Allah adalah pemberi petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus”). (Al Hajj: 54)

Secara lumrahnya, lengkapnya hidup seseorang insan itu dapat dipenuhi dengan bimbingan dan didikan. Konteks pendidikan sangat luas kepada semua lapisan masyarakat. Sejak kecil lagi, kehidupan kita sudah dikurniakan dua orang pendidik. iaitu ibu dan ayah kita. Kedua-dua insan ini merupakan sebuah batu asas yang penting dalam pembentukan generasi yang soleh, kerana seluruh kehidupan kita akan bersama dengan mereka berdua sehingga ke akhir hayat.

Kemudian, apabila umur sudah sedikit meningkat, kita akan dipertemukan dengan guru-guru di sekolah. Bermulanya pendidikan kita di sekolah, maka bermulalah pendidikan itu secara formal dari guru-guru. Ia tidak terhad belajar subjek matapelajaran, bahkan ia dididik juga cara untuk berdisiplin, beretika dan berakhlak mulia melalui peraturan-peraturan sekolah yang telah ditetapkan. Peranan sekolah amat penting bagi melahirkan generasi yang bertamadun. 

Guru-guru di sekolah merupakan penyambung tugas dan tunjang yang penting dalam pembentukan generasi yang soleh. Mereka bukan sekadar mengajar silibus-silibus tahunan, bahkan mereka mendidik dan mentarbiah kita sehingga mengenali hakikat kehidupan ini hanyalah kerana dengan mengenal dan beriman dengan Maha Pencipta.

 Pendidikan yang paling mulia adalah yang membawa kita kepada perkara yang menghidupkan iman dan mengenal Allah Ta’ala. Maksud pendidikan ini tidak menafikan subjek yang bukan agama tidak mendatangkan iman, sebaliknya kesemua subjek tersebut akan membawa kepada tujuan dan matlamat yang satu. Seperti, matematik, sains, geografi da sebagainya. Kesemua itu merupakan satu kerja dan amalan yang paling mulia di sisi Allah Taala.

 Terlintas di fikiran sebuah kisah yang diceritakan di dalam Al-Quran mengenai kemuliaan seorang pendidik; iaitu ketika mana Allah Taala mengkhabarkan kepada para malaikat bahawa Dia mahu menciptakan manusia dan menjadikan sebagai khalifah di muka bumi ini. Selepas terlahirlah Nabi Adam A.S, Allah Taala mengajarkan tentang kesemua nama yang berada di muka bumi, lalu Nabi Adam As menerangkan nama-nama tersebut kepada para malaikat.

(وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَاۤءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِی بِأَسۡمَاۤءِ هَـٰۤؤُلَاۤءِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِینَ)

Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.

[Surah Al-Baqarah 31]

Lalu, para malaikat mengungkapkan dengan bentuk pujian kepada Allah Taala : 

(قَالُوا۟ سُبۡحَـٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَاۤ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِیمُ ٱلۡحَكِیمُ)

Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

[Surah Al-Baqarah 32]

Kemudian penyambungan ayat ke 33, Allah Taala memerintahkan Nabi Adam A.S menceritakan nama-nama tersebut kepada para malaikat. Nabi Adam As yang merupakan seorang insan biasa yang tidak sehebat amal para malaikat boleh mengajarkan kepada para malaikat. Justeru, Allah Taala memuliakan manusia dengan keimanan dan keilmuan.

Melalui kisah ini, kita dapat menyaksikan bahawa kemuliaan insan adalah dikurniakan dengan ilmu dan mengajarkan kepada orang lain. Sekaya-kaya manusia juga kalau tidak dikurniakan ilmu, tentu dia akan mudah menjadi muflis. Nilaian sesorang manusia adalah dengan memiliki ilmu di dada, bukannya pada kekayaan atau pangkat. 

Sebaik -baik pendidik ia mampu melahirkan generasi yang penuh dengan jati diri yang berwibawa kepada agama dan negara. Sepertimana yang ditunjukkan oleh Baginda Saw sendiri mentarbiah keluarga dan para sahabat sewaktu permulaan islam bertapak di kota mekah. Sejarah telah merakamkan bahawa mereka adalah generasi yang terbaik dan digelar sebagai jil Al-Quran (generasi Al-Quran).

Namun, adakah masih lagi mempunyai generasi terbaik seperti mereka? 

Semestinya, generasi terbaik waktu kini adalah umat islam kita di Gaza, Palestin. Mereka sehingga kini sentiasa teguh dengan prinsip dan keimanannya terhadap mempertahankan tanah air dan Masjid Al-Aqsa walaupun pencerobohan ini sudah sekian berabad lamanya, namun perjuangannya masih kekal sehingga ke generasi harini. Walaupun kesyahidan mereka sepeti tiada noktah, namun setiap lapisan masyarakat mereka kekal teguh dengan janji Allah Ta’ala, seolah- olah pintu syurga sudah terang lagi bersuluh terpampang di hadapan mata mereka. 

Merekalah yang mendidik dunia hari ini erti sebenar kesetiaan, pengorbanan dan perjuangan mempertahankan iman dan maruah umat islam. Sedangkan, kita yang bahagia dan selesa ini masih dikaburi dengan perhiasan dunia yang sementara. Mereka mengajarkan kita erti pergantungan hanyalah kerana Allah Ta’ala. Sebahagian mereka sempat lagi teguh mempelajari ilmu di peringkat yang tertinggi walaupum keadaan mereka sememangnya darurat, hanya berbumbungkan khemah yang mana bila-bila saja Tuhan akan menjemputnya. 

Ramai menganggap kemenangan Palestin terhadap zionis beserta kuncu-kuncunya sangat mustahil kerana disebabkan kecanggihan senjata, teknologi dan bilangan yang menyokong mereka makin ramai. Namun begitu, bagi rakyat Palestin dan umat islam sepatutnya yakin dengan janji Allah Ta’ala. Sampai masanya Allah Ta’ala akan datangkan pertolongan kepada mereka sekiranya kita telah mencukupkan syarat kemenangan tersebut.  Inilah merupakan contoh generasi yang terbaik; mengajarkan kita tentang prinsip dan matlamat kehidupan kita hanyalah kerana Allah Taala.

Firman Allah Ta’ala:

وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ

Peranan utama warga pendidik adalah mengenal akan pencipta seperti dalam ungkapan ini:

لولا مربي لو عرفت ربي

Jika tidak kerana guruku, tidaklah aku mengenal Tuhanku.

Ungkapan ini menjelaskan betapa besarnya jasa dan pengorbanan guru. Oleh itu, Panjatkan doa, mengingati jasanya dan menghargai jasa mereka sepanjang masa walaupun dah lama tidak bersua. 

Ucapan dan doa buat Rasulullah Saw dan para sahabatnya, para tabiin, para ulama’ salafussoleh, para ulama dan penyambung risalah sampainya islam kepada kita. Kepada ibu dan ayah serta guru-guru di setiap peringkat pengajian.

Selamat hari guru,

Kerana didikan mereka terlahirnya seorang ulama’,

Kerana ilmu mereka terlahirnya seorang doktor,

Kerana bimbingan mereka terlahirnya seorang guru. 

Semoga para guru sentiasa dipanjangkan umur & dimurahkan rezeki sama ada yang mengajar kami dari kecil sehingga menjadi dewasa.

#mumtaz4ummah #pelitakehidupan

Ust Amirul Hadif
Fakulti Bahasa Arab, Universiti al-Azhar.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts