Keluarga Imran contoh keluarga soleh di dalam Al Quran

  1. Allah memilih untuk menampilkan kisah keluarga Imran sebagai contoh keluarga yang soleh di dalam al-Quran. Imran adalah bapa kepada Saidatina Maryam. Menurut Ibn Asyur, beliau adalah di antara lelaki yang soleh dikalangan Bani Israel. (al-Tahrir wa al-Tanwir, 3/84)
  2. Bukan sahaja Imran, isteri beliau turut digambarkan sebagai ibu dan isteri yang solehah. Ini dapat difahami melalui dialog (doa) beliau ketika mengandungkan Maryam. Isteri Imran bernazar agar anak yang dikandungnya menjadi seorang yang melindungi agama mengabdikan dirinya hanya untuk Allah. (al-Tabari, Jami’ al-Bayan).
  3. Berkat doa ibu yang solehah serta ayah yang soleh, mereka dikurniakan anak yang solehah iaitu Maryam. Bukan itu sahaja, Allah menyusun agar guru yang mendidik Maryam juga adalah seorang yang soleh, iaitu Nabi Zakaria (surah Ali Imran: 37).
  4. Kisah ringkas dalam Quran ini menggambarkan kepentingan sinergi gabungan peranan ibubapa dan guru dalam membesar, mendidik serta menghasilkan pelajar yang baik. Walaupun diuji dengan ujian yang amat sukar (Maryam mengandung tanpa berkahwin), Maryam berjaya melalui ujian ini dengan tenang.
  5. Kehebatan keluarga ini menjadikan nama mereka dipatrikan sebagai salah satu nama surah di dalam al-Quran, iaitu surah Ali Imran. Menariknya disini, Allah turut menampilkan juga contoh keluarga yang tidak baik, yang berlawanan dengan kisah keluarga Imran.
  6. Allah mengkhususkan satu surah untuk keluarga Abu Lahab, menggambarkan kedudukan mereka sebagai contoh keluarga yang teruk di dalam al-Quran. Surah ini dimulakan dengan lafaz “cilaka” (tabbat) buat Abu Lahab kerana bukan sahaja memusuhi Islam dan menyakiti Rasulullah, malah isteri serta anak mereka turut membantu dalam perkara ini.
  7. Ummu Jamil, isteri Abu Lahab dikatakan bukan sahaja mencaci Rasulullah, malah menabur duri dijalan yang dilalui Rasulullah. Anak mereka yang berkahwin dengan puteri Rasulullah, Utbah (yang berkahwin dengan Ruqaiyah) serta Utaybah (yang berkahwin dengan Ummu Kalthum) disuruh pula menceraikan isteri mereka (iaitu anak-anak Rasulullah).
  8. Kejahatan Abu Lahab serta ahli keluarga mereka dalam memerangi Islam diabadikan di dalam al-Quran di dalam satu surah khas, sebagai pedoman buat Muslim.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts