BANGI – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melancarkan Kempen ‘Bapa Qawwam Lambang Pengorbanan’ bersempena bulan Zulhijjah dan sambutan Hari Bapa pada Jun.
Naib Presidennya, Ustaz Muhammad Shahier Sa’min berkata, Qawwam yang dimaksudkan dalam kempen ini adalah seorang suami atau bapa sebagai pemimpin keluarga, pemberi nafkah, dan bertindak mendidik isteri dan keluarga.
Kempen Bapa Qawwam ini dijalankan sepanjang bulan Zulhijjah sehingga awal Muharram iaitu bermula 12 Jun 2024 hingga 20 Julai 2024.
“Kempen ini mengambil peluang sempena sambutan Aidiladha yang mengangkat tema perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim A.S, serta keluarga yang dipimpinnya.
“Ia sebagai contoh dan dijadikan qudwah atas ketaatan dan kesabaran keluarga tersebut dalam melaksanakan perintah Allah SWT,” katanya dalam sidang media di Dewan Pejabat ISMA Pusat, hari ini.
Ustaz Muhammad Shahier berkata, antara aktiviti yang akan dijalankan adalah edaran risalah Jumaat kepada 14,000 bapa di seluruh Malaysia yang melibatkan 46 buah cawangan ISMA bagi menguatkan lagi penyampaian makna sebenar bapa Qawwam.
“Jumlah 14,000 ini adalah simbolik kepada kesyahidan anak-anak di Gaza sehingga kini sejak 7 Oktober 2024.
“Kemudian kita akan menganjurkan ceramah di masjid dan surau yang akan mengangkat tema qudwah Nabi Ibrahim A.S sebagai bapa Qawwam.
“Ini termasuk menyampaikan mesej kepentingan sifat Qawwam pada seorang bapa dalam menjaga kestabilan keluarga dan masyarakat yang unggul,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kempen ini akan diteruskan di platform media sosial dengan mengetengahkan kisah inspirasi bapa dan perkongsian tips yang membawa mesej ‘Bapa Qawwam Lambang Pengorbanan’.
“Penyampaian mesej Qawwam melalui Iftar kejiranan di komuniti cawangan seluruh negara juga akan dilaksanakan, di samping menghidupkan amalan 10 Awal Zulhijjah.
“Kemudian akan diadakan program Laman Nazim yang khusus melibatkan ayah dan anak, aktiviti berkelah, beriadah atau bersukan yang bertemakan “Bapaku Heroku”,” katanya.
Beliau berkata, ISMA juga mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana badan kerajaan, swasta, komuniti dan individu bagi menjayakan kempen ini. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM