Gerakan boikot tak beri kesan ketara kepada ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 Muharam 1446H, Khamis – Kerajaan akan berusaha memastikan ekonomi negara terus berkembang dan tidak terkesan dengan gerakan memboikot.

Setakat ini, gerakan memboikot dilihat tidak memberikan kesan ketara kepada ekonomi negara memandangkan sumbangan subsektor makanan dan minuman kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah kecil iaitu 2.4 peratus pada suku pertama 2024.

Demikian kata Kementerian Ekonomi menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Katanya, konflik Asia Barat antara rejim zionis Israel dan Palestin yang berlaku pada 7 Oktober, 2023 telah mendorong kepada gerakan untuk memboikot sebahagian perniagaan syarikat jenama luar negara oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

“Pemboikotan ini menyebabkan pengguna cenderung untuk beralih kepada jenama makanan dan minuman keluaran tempatan,” jelasnya seperti dilapor Bernama. 

Kementerian Ekonomi menjelaskan pembaharuan struktur ekonomi yang sedang dilaksanakan dijangka menyokong sasaran pertumbuhan ekonomi bagi mempercepat peralihan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Syarikat berjenama tempatan wajar mengambil peluang serta lebih kreatif dan inovatif dalam menawarkan produk tempatan yang berkualiti dan memenuhi cita rasa rakyat tempatan.

“Tindakan ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi permintaan untuk produk buatan Malaysia,” katanya.

Kementerian Ekonomi berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang meminta kementerian tersebut menyatakan peratusan pertumbuhan ekonomi untuk subsektor minuman dan makanan ketika kebanyakan pemain industri berkenaan mengalami tekanan akibat gerakan boikot.

ismaweb.net

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts