Mesyuarat Tergempar OIC: Malaysia cadang empat langkah utama tangani isu Palestin

KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan empat langkah utama untuk menyokong perjuangan Palestin, termasuk penubuhan kumpulan tokoh terkemuka yang ditugaskan untuk menilai dan mengenal pasti langkah bagi melaksanakan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan membentangkan cadangan itu ketika menyampaikan Kenyataan Negara semasa mesyuarat tergempar yang diadakan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Beliau berkata, cadangan itu menekankan keperluan untuk memperluas sokongan global kepada Palestin dengan memanfaatkan keputusan ICJ dan kesepakatan yang dicapai oleh puak Palestin melalui Deklarasi Beijing.

“Langkah-langkah itu perlu memberi tumpuan kepada bidang kuasa sejagat dan memastikan pelaksanaan undang-undang antarabangsa secara konsisten,” katanya semasa sesi mesyuarat yang diadakan di Jeddah, pada Rabu.

Kedua, Malaysia menggesa supaya Jawatankuasa Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Aparteid dikembalikan, kata menteri itu.

Tugas utama jawatankuasa ini adalah untuk menghentikan pendudukan haram Wilayah Palestin (OPT) oleh Israel dan menangani dasar aparteid yang dikenakan ke atas rakyat Palestin.

Ketiga, Malaysia mencadangkan agar OIC bekerjasama dengan negara-negara sehaluan untuk meminta Sidang Khas Tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-10 mengenai Isu Palestin disambung semula.

“Cadangan ini adalah untuk membincangkan cara dan kaedah untuk melaksanakan atau “memberi kesan” kepada Pendapat Nasihat ICJ.

“Akhir sekali, kita harus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dan membantu membina semula ekonomi dan kehidupan rakyat Palestin selepas konflik.

“Ini adalah langkah penting yang akan memudahkan mereka kembali kepada kehidupan normal,” katanya.

Susulan pembunuhan Ismail Haniyeh yang juga ketua biro politik Hamas, Malaysia menggesa usaha bersama bagi melawan propaganda dan maklumat salah Israel.

“Malaysia sentiasa menjadi penyokong kuat keamanan dan kestabilan. Meskipun kami mengutuk pembunuhan itu, kami menggesa semua pihak untuk mengelakkan situasi meningkat hingga menjadi krisis serantau dan global.

“Serangan di Tehran boleh menjadi percubaan untuk menggagalkan rundingan damai yang sedang berlangsung di Timur Tengah.

“Kita tidak seharusnya jatuh ke dalam perangkap mereka. Fikiran yang tenang perlu diutamakan. Kita harus menyokong proses damai yang diselesaikan di meja rundingan. Diplomasi adalah jalan terbaik,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, OIC menyifatkan tindakan itu sebagai “jenayah pencerobohan, pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa, dan pelanggaran serius terhadap kedaulatan Iran.”

Agensi Anadolu melaporkan bahawa badan dunia itu juga menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mengenakan gencatan senjata segera dan menyeluruh terhadap pencerobohan Israel dan memastikan akses kemanusiaan yang mencukupi dan berterusan di seluruh Semenanjung Gaza.

– BERNAMA
ASTRO AWANI.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts