Sultan Perak: Media antarabangsa ‘serang’ Islam dengan imej negatif setiap hari

rajanazrinshah290514

 

IPOH – Media antarabangsa setiap hari ‘menyerang’ dunia Islam dengan memaparkan imej negatif mengenai golongan belianya, sama ada sebagai pelaku keganasan, pejuang jihad, pahlawan dan pengganas, atau malah sedang melarikan diri daripada bandar raya yang dibom.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, Islamofobia merupakan kebimbangan sebenar bagi golongan belia Islam yang tinggal dan membesar di Barat yang berdepan dan mengalami permusuhan yang kian meningkat.

“Keadaan ini memberikan cabaran serius kepada generasi muda kita di barat, negara-negara penduduknya minoriti Islam dan bagi mereka di Timur Tengah yang terperangkap di tengah-tengah konflik.

“Salah tanggapan seumpama itu selaras dengan agenda politik beberapa ahli politik di Barat yang meraih sokongan dengan mencetuskan ketakutan nasionalisme,” titah Sultan Nazrin dalam ucaptama semasa merasmikan Persidangan Dunia Ke-3 mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) 2016, di sini.

WCIT 2016 bertemakan “Dunia Masa Hadapan” yang bermula hari ini sehingga Khamis merupakan persidangan dwitahunan yang diadakan bagi membincangkan isu-isu semasa dan dianjurkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) sejak 2012 dan dihadiri oleh peserta daripada lebih 15 negara.

Sultan Nazrin mengambil perhatian bahawa populasi penghijrah Islam yang tinggal di Barat, sama ada pelarian baru-baru ini atau warganegara generasi kedua sering digambarkan sebagai penganggur, terpinggir dan tidak puas hati dan mudah terdedah untuk direkrut oleh organisasi pengganas seperti Al-Qaeda dan Daesh.

Baginda bertitah, kerjasama lebih kukuh antara negara-negara Islam akan membolehkan semua orang memainkan peranan lebih efektif untuk respons terhadap konflik di Timur Tengah dan tempat lain.

Baginda memuji Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mencatatkan kemajuan dalam membangunkan komunikasi lebih baik dan usahasama lebih jitu antara negara-negara Islam.

“Jambatan antara dunia Islam dan Barat akhirnya akan hanya dapat dibina menerusi resolusi konflik-konflik yang sukar ini.

“Bagaimanapun walau serumit mana sekalipun ia kelihatan, usaha lebih gigih perlu diambil oleh kedua-dua belah pihak untuk mengadakan lebih banyak dialog efektif dan menangani puncanya,” titah baginda. – Bernama

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts