SHAH ALAM – Masyarakat perlu percaya dengan kewibawaan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) menentukan urusan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang terbaik untuk penganugerahan logo halal.
Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, campur tangan beberapa pihak khususnya kritikan tidak membina hanya akan menimbulkan kekeliruan sekaligus menyebabkan jabatan itu diperlekeh.
“Biar Jakim buat kerja mereka mengikut garis panduan terbaik yang telah ditetapkan,” katanya.
Jelas beliau, sesebuah syarikat mempunyai pilihan sama ada untuk membuat permohonan mendapatkan sijil halal daripada jabatan itu.
“Memang ia tidak wajib, namun, tentunya kita sarankan mereka berbuat demikian bagi meningkatkan keyakinan pengguna Muslim,” katanya lagi
Mengulas mengenai isu penggunaan nama ‘dog’ pada makanan yang hangat diperkatakan ketika ini, beliau berkata, isu tersebut adalah yang terpencil.
“Sebagai contoh ‘pretzel dog’ yang dijual oleh sebuah francais yang viral baru-baru ini, jika pihak mereka memohon sijil halal dari Jakim, maka ia perlu difahami dan mengikuti garis panduan pihak pengeluar logo.
‘Jadi keperluan menukar nama jelas hanyalah isu administrasi. Tetapi isu tersebut telah diperbesarkan sehingga mencarik kredibiliti status halal Jakim.
“Ia disambut pula oleh media antarabangsa seolah-olah memperlekehkan jabatan itu,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my