Haram umat Islam sambut Halloween

halloween

 

Soalan: Apakah hukum menyambut perayaan Halloween?

Jawapan: 

Definisi Halloween

Halloween merupakan perayaan yang disambut pada 30 Oktober setiap tahun bagi memperingati orang yang telah mati. Halloween juga disebut dengan Hallowe’en dan perayaan ini juga disebut sebagai All Hallow Eveatau All Saints’ Eve.

Perkataan Halloween/Hallowe’en muncul dalam tahun 1745M dan agama kristian dikatakan memulakan penggunaannya. Perkataan halloween bermaksud “hallowed evening” atau “holy evening” (petang yang mulia) dan dikatakan juga berasal dari bahasa Scotland (Scottish). Orang Celt di Scotland dikatakan merayakan perayaan ini dengan tradisi paganisme sempena musim menuai mereka.

Sambutan Halloween

Halloween disambut dikebanyakan negara bukan Islam pada 30 Oktober pada setiap tahun. Perayaan ini selalunya disambut pada waktu malam dan dilakukan dengan berpakaian aneh dan berjalan dari pintu ke pintu rumah dan meminta gula-gula atau coklat dengan berkata “Trick or treat!”. Ucapan “Trick or treat!”merupakan semacam “ugutan” yang membawa maksud “Beri kami (gula-gula) atau kami buat kacau.”

Kanak-kanak zaman sekarang biasanya tidak lagi membuat kacau di rumah orang yang tidak memberi apa-apa. Sebahagian kanak-kanak masih membuat kacau di rumah orang yang dianggap kedekut dengan cara “menghiasi” pohon yang ada di depan rumah dengan kertas tisu atau menulis di tingkap dengan sabun.[1]

Halloween biasanya dikaitkan dengan syaitan, ahli sihir, hantu, Goblin dan makhluk-makhluk mitos dan menyeramkan lain dari kebudayaan Barat. Halloween disambut dengan menghiasi rumah dan pusat membeli-belah dengan simbol-simbol Halloween tersebut.

Hukum Berkenaan Dengan Halloween

Dikatakan  di sini bahawa menyambut perayaan Halloween adalah haram di sisi Islam. Ini kerana berdasarkan kajian sejarah, didapati bahawa perayaan ini merupakan syiar bagi sebahagian penganut agama Kristian dan mereka menyambutnya demi memperingati roh-roh yang telah meninggal dunia.

Rasulullah SAW telah melarang kita dari menyerupai orang kafir. Sabda Baginda SAW dari hadis Ibn Umar R.Anhuma:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم  : مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”.

Riwayat Abu Daud (4031)

Berdasarkan hadis di atas maka seorang Muslim itu dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat atau adat perayaan yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai perkara-perkara tersebut.

Al-Imam al-San’ani Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. [Subul al-Salam. Dar al-Hadis, 2/647]

Disebutkan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i’tiqad, iradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat. [Faydh al-Qadir. Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 6/104]

Jelas di sini bahawa perayaan Halloween merupakan tasyabbuh kepada golongan kafir dari segi i’tiqad, perbuatan dan juga pemakaian yang mana sedia maklum selalunya bagi mereka yang menyambut perayaan ini akan mengenakan kostum-kostum tertentu bersesuaian dengan hari Halloween.

Pendapat Badan Fatwa 

  1. Fatwa Kebangsaan juga telah mengharamkan sambutan Halloween bagi umat Islam. Ianya jelas bertentangan dengan nilai-nilai syariah.[2]
  1. Fatwa dari islamweb.net mengatakan bahawa merayakan hari Halloween adalah haram kerana asal sambutan ini adalah bersifat penyembahan dan juga dirayakan oleh kaum bukan Islam. Ibu-bapa dilarang untuk menghantar anak untuk turut serta dalam perayaan ini.[3]

 Pendapat Ulama’ 

  1. Sheikh Muhammad Salih al-Munajjid juga mengatakan haram bagi umat Islam menyambut hari Halloween kerana menyerupai orang kafir.
  1. Sheikh Dr. Ahmad Sa’id Hawwa ahli Syrian Islamic Council mengatakan bahawa haram bagi umat Islam untuk menyambut hari Halloween. Halloween menurut beliau adalah hari yang suci yang di sambut oleh penganut masihi dan umat Islam dilarang untuk mengikuti dalam perayaan mereka.[4]
  1. Mufti Negeri Pahang, S.S Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman juga berkata bahawa umat Islam haram hukumnya untuk menyambut hari Halloween. Tambah beliau lagi, selain hari Halloween, beberapa lagi hari sambutan kesan pengaruh barat seperti Valentine’s Day dan April’s Fool juga haram diraikan kerana berkait rapat dengan unsur agama lain. Tambah beliau lagi, sambutan-sambuntan sebegini merupakan agenda luar untuk menyesatkan akidah umat Islam dengan cara yang tidak disedari.

Penutup

Kesimpulannya, kami tegaskan sekali lagi bahawa hukum menyambut Halloween bagi umat Islam adalah haram kerana terdapat unsur-unsur tasyabbuh yang tidak dibenarkan di dalam Islam. Mudah-mudahan, dengan pencerahan ini dapat memberikan faedah dan manfaat dalam beragama dan diharapkan anak-anak muda kita dapat menghindarkan diri dari terjebak ke dalam kancah maksiat ini. Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: http://www.muftiwp.gov.my/index.php/perkhidmatan-s/irsyad-fatwa/286-irsyad-al-fatwa-siri-ke-91-hukum-menyambut-perayaan-halloween

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts