Yang di-Pertuan Agong dan Sumpah Yang Satu

 

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara Malaysia, adalah umpama payung yang menaungi rakyat dan menyatukan masyarakat berbilang kaum dan fahaman di negara ini.

Pada 14 Oktober lalu, Majlis Raja-Raja telah memilih Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menjadi Yang di- Pertuan Agong ke-15.

Baginda, yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong, bakal menggantikan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, hari ini.

Sehubungan itu, bagi menyempurnakan proses penerimaan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V akan mengangkat sumpah jawatan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Baginda akan melafaz sumpah itu dengan disaksikan Raja-raja Melayu dalam satu Mesyuarat Majlis Raja-raja (Khas) di Istana Negara , esok.

Menurut Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, kebanyakan perkara dalam proses pertabalan seperti ucapan ‘Daulat Tuanku’, jumlah pengiring, dan sebagainya, adalah perkara adat atau protokol.

“Apa yang dituntut oleh Perlembagaan bagi menyempurnakan pelantikan (Yang di-Pertuan Agong) ialah sumpah jawatan seperti yang tertera dalam Perkara 37, Bahagian Tiga, Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan,” kata Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu kepada Bernama, baru-baru ini.

Sumpah itu merangkumkan secara keseluruhan tanggungjawab besar yang dipikul Yang di-Pertuan Agong, yakni meliputi empat perkara iaitu:

  • Mengikut undang-undang dan Perlembagaan sedia ada dan akan datang;
  • Menegakkan kedaulatan undang-undang;
  • Menjalankan pemerintahan dengan adil dan aman; dan
  • Memelihara agama Islam.

Shamrahayu berkata, peranan baginda diramal akan lebih menyerlah pada masa hadapan berikutan situasi masa kini yang semakin mencabar.

“Mungkin sebelum ini rakyat tidak nampak fungsi Yang di-Pertuan Agong itu dalam keadaan politik yang stabil.

“Bagaimanapun, keadaan dahulu berbeza daripada sekarang, situasi perpaduan orang Melayu telah berbeza, begitu juga perpaduan antara kaum, turut berbeza.

“Saya fikir penyerlahan peranan dan kuasa raja itu akan berlaku lebih besar lagi pada masa akan datang, mengikut kehendak Perlembagaan,” kata beliau.

Katanya, kedudukan Yang di-Pertuan Agong sering disalah tafsir sebagai simbol adat semata-mata.

Malah, ramai yang menyamakan sistem pemerintahan beraja di tanah air dengan sistem pemerintahan beraja di England. Shamrahayu menafikan dakwaan itu.

“Sistem pemerintahan beraja di England tidak langsung mengiktiraf kedudukan ratu mereka dalam perundangan bertulis negara itu.

“Ini berbeza dengan sistem raja berpelembagaan di negara kita yang telah ditulis dalam Perlembagaan.

“Bermakna, kalau kita ada Perlembagaan bertulis, kita kena ikut Perlembagaan bertulis itu, dan ia adalah undang-undang tertinggi negara,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai fungsi dalam ketiga-tiga cabang kerajaan iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman, seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam cabang eksekutif baginda mempunyai kuasa melantik Perdana Menteri dan tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

Menghuraikan perkara itu, Shamrahayu berkata, Perlembagaan tidak menetapkan sebarang syarat pada Yang di-Pertuan Agong, misalnya dalam menjalankan fungsinya melantik Perdana Menteri, untuk membuktikan bahawa pilihan baginda benar-benar meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Biasanya orang faham bahawa Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.

“Betul, baginda boleh bertindak atas nasihat Perdana Menteri, tetapi ada perkara-perkara di mana Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut hemat baginda sendiri, menurut peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong juga boleh meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata- mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu.

Bagi cabang kehakiman pula, Yang di-Pertuan Agong berperanan besar dalam melantik Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim lain berdasarkan nasihat Perdana Menteri.

Baginda juga diberi kuasa untuk mengampun dan menangguhkan hukuman mengenai segala kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.

Yang di-Pertuan Agong turut berperanan sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, selain memegang amanah sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja iaitu Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan negeri asal Baginda sendiri.

“Kita mempunyai Perlembagaan yang meletakkan raja sebagai Ketua Utama Negara dan memberikan setengah-setengah kuasa kepada baginda.

“Pada masa yang sama kita ada kerajaan demokrasi. Dua sistem ini sepatutnya mengimbangi antara satu sama lain,” tegas Shamrahyu.

Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.

Apabila genap tempoh itu, baginda hendaklah turun dari takhta dan akan digantikan oleh seorang raja lain berdasarkan sistem pemilihan yang sama.

Menurut Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan seseorang Raja adalah layak untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong melainkan jika:

  • Ia adalah seorang remaja; atau
  • Telah diberitahu kepada Penyimpanan Mohor Besar Raja-Raja bahawa ia tidak berkehendak dipilih, atau
  • Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa ia adalah tidak sesuai untuk menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong disebabkan kelemahan akal atau tubuhnya atau oleh kerana apa-apa sebab yang lain.

Dalam proses pemilihan, Majlis Raja-Raja terlebih dahulu akan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada raja yang negerinya ialah pertama dalam senarai pemilihan.

Jika raja itu tidak menerima jawatan berkenaan, Majlis Raja-Raja dikehendaki menawarkan jawatan itu kepada Raja yang negerinya selepas negeri pertama dalam senarai pemilihan, dan seterusnya, sehinggalah seorang Raja menerima jawatan itu.

Raja-raja Melayu yang layak memilih dan menduduki takhta pemerintahan Malaysia ialah Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Selangor, Raja Perlis, Sultan Terengganu, Sultan Kedah, Sultan Kelantan, Sultan Pahang, Sultan Johor dan Sultan Perak.

Ini adalah kali kedua Sultan Kelantan dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini nenda Sultan Muhammad V, Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Sultan Ibrahim menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong keenam pada 1976 hingga 1979.

“Harapan kita sebagai rakyat tentulah supaya Yang di-Pertuan Agong akan memayungi seluruh warga Malaysia untuk kemakmuran negara, dari segi perpaduan kaum, ekonomi, dan kesejahteraan politik.

“Dan yang utama juga adalah perpaduan dalam golongan agamawan. Kita mengharapkan takhta Yang di-Pertuan Agong akan menjadi titik rujukan untuk orang Islam bersatu,” kata Shamrahayu. – Bernama

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts