ALEPPO – Satu berita memeranjatkan dan menyentuh hati jutaan pembaca dilaporkan apabila sesetengah penduduk di timur Aleppo bertanya ulama, sama ada wajarkah mereka membunuh anak perempuan sendiri bagi mengelak menjadi mangsa rogol tentera rejim Syria, Hezbollah atau militan Iran.
Mesej terdesak daripada penduduk terbabit mula dikongsi di laman-laman sosial, tatkala tentera rejim Bashar Al-Assad dibantu kumpulan Syiah Hezbollah dan militan Iran, menawan Aleppo daripada pejuang dan penentang rejim.
Tentera dan sekutu mereka sebelum ini dilaporkan bertindak balas dengan membunuh puluhan sanak saudara dan rakan pejuang, termasuk wanita dan kanak-kanak, selepas menawan benteng akhir penentang rejim Syria.
Malah, dalam satu kiriman di laman sosial, seorang gadis menulis dia akan membunuh diri kerana tidak mahu menjadi mangsa rogol. Antara yang ditulisnya ialah:
“Kepada semua pemimpin agama dan ulama dunia. Kepada semua mereka yang kononnya memikul beban di bahu mereka. Saya adalah salah seorang daripada gadis Aleppo yang menanti dirogol dalam masa beberapa jam lagi. Tiada lelaki mahupun senjata di antara kami dan raksasa yang dipanggil tentera Syria.”
“Saya tidak mahu apa-apa daripada anda, juga tidak doa. Saya masih boleh bercakap dan percaya solat saya lebih ikhlas daripada anda. Apa yang saya mohon ialah jangan mengambilalih tempat Tuhan dan menghukum saya kerana membunuh diri.
“Saya akan membunuh diri dan saya tahu anda akan mengatakan takdir saya adalah di neraka. Saya tahu satu-satunya perkara yang akan menyatukan anda semua adalah seorang gadis membunuh diri. Saya bukan ibu atau kakak atau isteri anda. Saya hanya seorang gadis yang anda tidak hargai.”
Tentera rejim Assad, Syiah Hezbollah dan militan Iran dilaporkan membunuh 200 penduduk di Aleppo, termasuk wanita dan kanak-kanak, semalam.
Aktivis hak asasi kemanusian di Aleppo melaporkan, Syiah Hezbollah melakukan pembunuhan itu, termasuksembilan kanak-kanak dan empat wanita yang dibakar hidup-hidup.
Beribu-ribu penduduk Aleppo, kini melarikan diri, kerana bimbang menjadi mangsa kekejaman tentera rejim Bashar dan Syiah Hezbollah. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my