BANGI – Ikatan Muslimin Malaysia melahirkan rasa amat dukacita dan marah terhadap peristiwa pembunuhan beramai-ramai Muslim Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berlaku di Aleppo kini.
Serangan pengganas regim Bashar al-Assad dan militan Syiah Hizbullah dengan bantuan Russia ke atas IS hanyalah sekadar helah untuk menghalalkan penghapusan Muslim Ahli Sunnah Wal Jamaah di Aleppo, seterusnya memungkinkan penguasaan Syiah sepenuhnya ke atas bumi Syria.
Tragedi kemanusiaan ini mengulangi sejarah penyembelihan Tatar ke atas penduduk Baghdad pada tahun 1258 Masihi yang turut didalangi oleh pengkhianat Syiah.
Keganasan ini juga menampakkan sikap hipokrit Barat yang amat jelas dan ternyata seruan hak asasi manusia yang mereka laungkan selama ini adalah tipu dan bohong semata.
Hakikatnya, dunia ini diurus oleh kuasa besar Barat dan Timur berasaskan ketamakan dan kepentingan masing-masing menggunakan kekuatan ketenteraan yang mereka miliki.
Kemaraan Syiah di Syria dan Iraq adalah dengan restu kuasa besar Amerika dan China demi satu perubahan geopolitik yang melemahkan penguasaan umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara sendiri.
Ikatan Muslimin Malaysia menyeru agar umat Islam mengetepikan perselisihan politik yang tidak menguntungkan mana-mana pihak, malah mengikis kekuatan sedia ada.
Peristiwa ini juga adalah peringatan bagi mana-mana pemerintah agar tidak menjadi boneka kepada kuasa asing.
Segenap lapisan masyarakat Islam perlu mengambil pengajaran daripada peristiwa di Aleppo kini dan Arakan tempoh hari agar membuat persiapan rapi dengan segala kekuatan demi mempertahankan diri dan watan daripada serangan rakus musuh dari Barat dan Timur, termasuk pengkhianat yang berselindung di sebalik slogan hak asasi manusia dan kebebasan beragama.
Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah diri mereka sendiri.
Ustaz Haji Mohd Hazizi Ab Rahman
Ketua Penerangan Isma
Sumber: http://isma.org.my/v2/tragedi-aleppo-serlah-komplot-jahat-syiah-barat/
www.indahnyaislam.my