ISTANBUL – Sekurang-kurangnya 12,000 orang awam dipindahkan dari Timur Aleppo sejak tengah malam Ahad.
Dalam masa sama, 47 kanak-kanak yang terperangkap di kawasan berkenaan juga dipindahkan semalam, lapor Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Pengarah serantau UNICEF, Geert Cappelaere berkata, sebahagian mereka dalam keadaan kritikal akibat kecederaan dan kebuluran.
Setakat ini dimaklumkan pelbagai agensi sedang berusaha membantu menyatukan semula kanak-kanak yang dipindahkan dengan keluarga masing-masing,
Di Idlib, seorang pekerja bantuan berkata, lebih 60 bas tiba dari timur Aleppo.
Difahamkan, sebahagian mereka dibawa ke rumah anggota keluarga atau penduduk lain sementara yang lain ditempatkan di khemah sementara.
Pemindahan semalam adalah hasil rundingan antara Russia bersama penyokong utama rejim Bashar al Assad dan Turki, yang menyokong sebahagian kumpulan penentang.
Ia sekali gus memberikan tentera Assad penguasaan penuh ke atas seluruh Aleppo, bandar kedua terbesar Syria yang sebelum perang saudara meletus terkenal sebagai hab ekonomi negara itu.
– Ismaweb
www.indahnyaislam.my