Antara perkara yang sering kali diperbincangkan dan perbincangan itu tenggelam timbul dalam masyarakat ialah perbincangan dan perdebatan dalam masalah aqidah ataupun iman. Perdebatan ini dirancakkan lagi dengan menggunakan media sosial. Adakalanya perdebatan itu berkisar dalam masalah penggunaan istilah, ada ketikanya perdebatan berlaku di dalam masalah pendekatan. Perbincangan-perbincangan ini telah masyhur sejak dahulu lagi antara golongan salaf dan khalaf seperti memaknakan ayat-ayat mutasyabihaat dan sebagainya.
Malah ada kalanya perdebatan ini tidak lagi secara ilmiyyah bahkan dipengaruhi sentimen emosi dan kepuakan sehingga menghilangkan rasa ukhuwwah sedangkan menghubung rasa ukhuwwah itu adalah tuntutan iman. Firman Allah SWT: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-Hujurat: 10).
Adapun perkara-perkara berkaitan aqidah yang bersifat asas-asas aqidah maka sudah tentu pendirian kita amat jelas iaitu menolak pendekatan tolak ansur dengan golongan yang cuba mempersoalkan atau mengambil sikap menyamakan sifat mahupun kuasa manusia menyamai atau melebihi kuasa Allah, meragui berhaknya Nabi Muhammad SAW dilantik sebagai sebagai seorang rasul, meragui keaslian Al-Quran, pencercaan yang berlaku kepada para sahabat dan umahat al-mu’minin. Seperti golongan Syiah dan beberapa ajaran menyeleweng yang lain.
Satu perkara yang perlu diinsafi oleh kita semua adalah di samping kita berbincang, mempertahankan aqidah yang benar dengan kita menyenaraikan semua hujjah-hujjah yang sangat ilmiyyah sehingga terbungkam mulut-mulut ataupun tumpul mata pena pesaing kita, janganlah kita anggap itulah kemuncak lengkapnya aqidah atau keimanan kita selama mana kepercayaan kepada aqidah yang benar itu belum cukup memberi pengaruh kepada pandangan hidup kita, tingkah laku dan perbuatan kita.
Iman yang sempurna bukan sekadar semata-mata penyataan dengan lidah bahawa kita adalah orang beriman kerana Al-Quran telah menceritakan ada manusia yang petah mengungkap bahawa dia seorang beriman tetapi hakikatnya dia adalah seorang munafik: “Dan di antara manusia ada yang berkata, kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat, padahal mereka sebenarnya tidak beriman.” (Al-Baqarah: 8)
Iman yang sempurna juga bukan sekadar berjayanya membuat apa yang lazim dibuat oleh orang-orang beriman atau pun memakai dengan pakaian orang beriman atau pun menggunakan bahasa yang biasa digunakan oleh orang beriman. Al-Quran menceritakan penipu-penipu besar yang licik cuba menipu manusia lain dengan penampilan sebagai orang beriman: Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang). (Al-Nisa: 142)
Iman yang sempurna bukan setakat pakar dalam bidang ilmu aqidah sehingga mampu mematahkan hujah dan mampu menyenaraikan puluhan dalil kerana keimanan di samping ilmu pengetahuan yang mampu menundukkan hati, yang secara automatik menggerakkan kemahuan diri dan sehingga rela menjalankan perintah Allah dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Al-Nisa: 65)
Keimanan di samping ilmu pengetahuan, ia juga sepatutnya menimbulkan semangat bekerja dan berkorban dengan harta dan diri. “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.” (Al-Anfaal: 2-4)
Terbitnya amal yang salih, sentiasa berakhlak mulia dari sudut tata kelakuan serta tutur bicara adalah tanda aras iman yang sempurna . Firman Allah: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.” (Al-Mu’minun: 1-3)
Statistik yang kian meningkat dalam perlakuan kemungkaran dan maksiat seperti jenayah rasuah, buang bayi, pecah amanah, merosakkan alam, penderhakaan kepada ibu bapa, ragut samun, khalwat, perzinaan dan sebagainya adalah gejala-gejala berterusan yang boleh diberhentikan dengan kekuatan iman. Tetapi apabila iman dan aqidah dipersembahkan kepada masyarakat tertumpu kepada bentuk perdebatan dan tenggelam dalam perbahasan ilmiyyah sahaja maka kesan aqidah dalam mempengaruhi tindak laku amat minima sekali.
Sahibus Samahah Ustaz Hj Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
www.indahnyaislam.my