Tips berhijrah menjadi muslim lebih baik

 

Setiap orang yang merancang pasti ada memasang azam yang ingin dicapai pada tahun 2017 tidak kira dari segi kewangan, kesihatan, kerjaya, keluarga, peribadi dan lain-lain. Satu azam yang mesti kita ada sebagai seorang Islam adalah untuk memperbaiki diri menjadi muslim yang lebih baik. Antara tips-tips untuk berubah adalah seperti berikut.

  1. Ilmu

Setiap perkara yang ingin dilakukan dan setiap cita-cita yang ingin dicapai mestilah dilaksanakan dengan ilmu. Kita harus faham mengapa kita harus berubah, ke arah mana kita harus berubah, setakat mana tahap yang perlu dicapai dan yang paling penting bagaimana untuk melaksanakan perubahan tersebut.

Sebagai seorang Islam, perkara paling penting yang harus difahami adalah tujuan kita diciptakan didunia ini dan tanggungjawap yang harus dilaksanakan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah dalam Al-Qur’an dan dijelaskan oleh hadis-hadis Nabi SAW.

Hakikat yang agak menyedihkan adalah kebanyakan dari kita gagal memahami apatah lagi melaksanakan tuntutan-tuntutan sebagai seorang Islam. Antara bahan bacaan yang baik untuk memahami tanggungjawap kita sebagai seorang Islam adalah buku yang bertajuk “Apa ertinya saya menganut Islam” yang ditulis oleh Fathi Yakan.

  1. Ikhlas

Setiap perkara yang dilakukan haruslah ikhlas semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT. Perkara ini memang senang diungkapkan, tetapi terlalu sukar untuk dilaksanakan kerana sebagai manusia yang lemah, kita sentiasa dipengaruhi oleh faktor-faktor keduniaan dan keuntungan yang boleh diperolehi di dunia boleh memesongkan niat kita dari Allah SWT. Dari itu untuk ikhlas, kita harus menjalani proses latihan yang panjang untuk membuang segala kebergantungan kita kepada dunia dan menjadikan Allah semata-mata sebagai matlamat.

  1. Keazaman yang tinggi dan tindakan

Sesudah mempunyai ilmu, matlamat yang jelas, niat yang ikhlas, kita harus melaksanakan segala tindakan yang sudah dirancang dengan disiplin yang tinggi. Senarai tindakan harus sentiasa disemak dan dipastikan pelaksanaannya dan sesi review dilakukan secara konsisten untuk melihat keberkesanan pelaksanaan tersebut dan bagaimana untuk memperbaikinya.

  1. Persekitaran dan support group yang kondusif

Melakukan perubahan dan penambahbaikkan bukanlah untuk beberapa ketika sahaja. Namun itulah yang sering terjadi kerana perubahan yang berterusan adalah satu proses yang sukar dan panjang dan adalah mustahil dilakukan tanpa support system dan persekitaran yang membantu. Akan datang waktu-waktu dimana  sebagai manusia kita akan berasa lemah, namun disaat inilah keluarga, rakan-rakan dapat membantu memberikan semangat untuk terus kekal istiqomah.

  1. Doa dan tawakkal

Sebagai seorang Islam, kita harus yakin bahawa hidayah adalah milik Allah dan kita wajib memohon untuk mendapat hidayah dengan berdoa. Dalam hadits Qudsi yang sahih, Allah Ta’ala berfirman:Wahai hamba-hamba-Ku, kalian semua tersesat kecuali orang yang Aku beri petunjuk, maka mintalah petunjuk kepada-Ku niscaya Aku akan berikan petunjuk kepada kalian”(HR Muslim 2577).

Kita juga harus yakin bahawa segala tindakan baik atau buruk adalah atas kehendak Allah dan kita sebagai hamba-Nya harus bersyukur atas nikmat kebaikan yang dikurniakan dan memohon dan berusaha bersungguh-sungguh untuk dihindarkan dari amalan yang buruk.

Kesimpulannya, kita sebagai seorang Islam harus berusaha untuk berubah dan mendapat hidayah dan tidak hanya mengharap hidayah dengan angan-angan kosong tanpa usaha yang rapi dan tersusun. Firman Allah dalam Surah As-Syam 8-10 ”Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntung orang menyucikan (jiwa)nya. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.”

Syafiq Muhammad
Aktivis Isma Bintulu

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts