Sudah empat tahun Saiful Apek, 47, berhenti merokok dan tidak lagi menyentuh benda yang selama ini banyak meleka dan mengkhayalkan.
Perasaan mahu berubah itu datang daripada dirinya sendiri dan melakukannya tanpa rela apabila memikirkan rumah tangga, isteri dan dua anak lelakinya meningkat dewasa, Riyadh, 22, dan Radzin, 19.
Menurut Apek, untuk mendidik sesiapa saja apatah lagi darah daging sendiri, dia kena berubah dan barulah kesedaran turut datang dalam diri orang lain.
“Kita tidak boleh hanya bercakap dan ‘mengarah’ orang buat baik, tetapi diri sendiri tidak betul. Semakin anak menginjak ke usia dewasa, saya melayan seperti kawan, menjadi tempat mereka mengadu dan mendengar segala keluhan agar tidak takut untuk bercakap benar.
“Tanpa dipaksa, Riyadh beritahu saya dia merokok dan katanya, itulah kali pertama dan terakhir dia merokok kerana dia tahu kesan buruk sebagai perokok,” katanya.
Kata Apek lagi atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff, titik perubahan terbesar berlaku dalam hidupnya apabila terjadinya tragedi MH370 pada Mac 2014. Pilu hatinya mengenangkan semua penumpang menjadi mangsa dalam tragedi itu.
“Anak kehilangan ibu bapa mereka yang terbabit dalam tragedi itu dan orang tua pula kehilangan anak yang perginya tidak meninggalkan tanda. Jika masih hidup di manakah mereka dan jika sudah meninggal dunia, di manakah kuburnya. Tibanya hari raya, ke mana hala kaki kaum keluarga nak dituju kerana tiada tanah kubur untuk diziarahi.
“Tragedi itu amat menginsafkan saya dan jika saya ‘pergi’ suatu hari nanti diharap adalah tanah kubur supaya anak dapat menziarahi saya,” katanya. – hmetro
www.indahnyaislam.my