
Tarikh: 28 Ramadan 1446H / 28 Mac 2025M
Lokasi: Ibu Pejabat Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa
Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa menerusi Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa hari ini mengeluarkan fatwa terkini dan tegas berhubung pencerobohan berterusan ke atas Gaza serta pelanggaran gencatan senjata oleh rejim Zionis. Fatwa ini merangkumi 15 seruan hukum syarak yang menjadi panduan umat Islam dalam menghadapi tragedi kemanusiaan dan jenayah perang di bumi Gaza.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, jawatankuasa menyatakan bahawa lebih 50,000 rakyat Palestin telah gugur syahid sejak bermulanya serangan besar-besaran, dan entiti Zionis telah sekali lagi mengkhianati perjanjian damai, dengan pembunuhan yang dilakukan secara sistematik serta disokong penuh oleh Amerika Syarikat melalui penghantaran senjata pemusnah.
Antara intipati 15 fatwa tersebut ialah:

1.Negara Islam wajib campur tangan secara ketenteraan, ekonomi dan politik demi menghentikan pembunuhan beramai-ramai.

2.Jihad dengan harta adalah wajib – orang kaya perlu membiayai para mujahidin dan menjaga keluarga mereka.

3.Haram menyokong musuh kafir dalam apa jua bentuk – termasuk penjualan senjata, fasiliti logistik atau apa sahaja bantuan kepada penjajah.

4.Haram membekalkan minyak, gas, makanan dan minuman kepada entiti Zionis – perbuatan ini adalah dosa besar dan boleh membawa kepada murtad jika disertai niat mengkhianati umat.

5.Diseru pembentukan pakatan tentera Islam bersatu demi mempertahankan maruah, sumber, dan keselamatan umat.

6.Ulama wajib bersuara dan menekan pemerintah agar memainkan peranan dalam jihad mempertahankan Gaza.

7.Wajib bantu Gaza dengan keperluan asas seperti ubat, makanan, bahan bakar – walaupun tanpa sokongan kerajaan.

8.Boikot penuh terhadap entiti Zionis dan sekutunya – termasuk politik, ekonomi, budaya dan saintifik.

9.Normalisasi dengan Zionis adalah haram mutlak – semua bentuk hubungan mesti diputuskan segera.

10.Perjanjian dengan penjajah Zionis wajib dikaji semula dan dibatalkan jika ia membelakangi kepentingan umat.

11.Jihad melawan penjajahan Zionis adalah fardu ain bagi umat Islam yang berkemampuan, bermula dari rakyat Palestin, negara jiran (Mesir, Jordan, Lubnan), hingga ke seluruh dunia Islam.

12.Seruan untuk menyatukan saf umat Islam – semua perpecahan mesti ditinggalkan, demi kekuatan bersama.

13.Digalakkan membaca Qunut Nazilah dan memperbanyakkan doa secara berterusan dalam semua keadaan.

14.Ucapan terima kasih kepada negara, institusi, dan individu yang membantu Gaza – termasuk pihak di Barat dan kalangan bukan Islam yang menyuarakan keadilan.

15.Teruskan boikot syarikat penyokong Zionis – keberkesanannya telah terbukti dan memberi tekanan ekonomi kepada penjajah.
Seruan kepada Dunia Islam : Jawatankuasa turut mengecam kegagalan dan kebisuan negara-negara Arab dan Islam, yang menurut mereka merupakan pengkhianatan terhadap amanah dan saudara seagama. Firman Allah SWT dipetik dalam seruan ini:
“Dan mengapa kamu tidak berperang di jalan Allah dan orang-orang yang tertindas dari kalangan lelaki, perempuan dan kanak-kanak?”
— [Surah An-Nisa’: 75]
Mereka juga menyeru kepada masyarakat Islam global, termasuk di Amerika Syarikat, agar menggunakan semua saluran demokratik dan kempen awam untuk memberi tekanan kepada kerajaan AS dan tokoh politik yang menyokong kekejaman rejim Zionis.
Jawatankuasa mengakhiri kenyataan dengan doa dan harapan agar umat Islam bangkit, bersatu dan bertindak, serta memohon keberkatan dan pertolongan daripada Allah SWT bagi seluruh rakyat Gaza dan perjuangan mereka.
📌 Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa
Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa
🕋 28 Ramadan 1446H / 28 Mac 2025M