MAKKAH – Menjaga kebersihan Masjidil Haram, terutama Kaabah bukanlah satu hal yang mudah kerana tempatnya tak pernah lekang dek orang ramai, tetapi pada masa sama kebersihan perlu sentiasa dikekalkan di tahap yang optimum kerana ia membabitkan keselesaan jemaah yang akan beribadah.
Untuk itu, 1,245 pekerja diperlukan sepanjang masa untuk membersihkan masjid agung Makkah itu, kata bahagian pengurusan kebersihan Masjidil Haram.
Malah, ketika waktu kemuncak seperti bulan Ramadhan dan musim haji, angka itu akan meningkat kepada 1,715 pekerja, manakala bilangan pekerja wanita pula bertambah kepada 210 hingga 341 orang.
Pihak pengurusan masjid berkata, jumlah sampah boleh mencapai 300 tan sehari pada waktu puncak, manakala di hari biasa, 100 tan sehari.
Justeru, pekerja akan dibahagikan kepada empat syif dan pasukan yang berbeza yang mana tugas mereka adalah membersihkan tiang, dinding, bumbung dan kubah, lantai dan mewangikannya dengan minyak. Mereka juga membersihkan koridor, eskalator, tangga, plat tembaga, kawasan saliran air bersih dan air hujan, dinding luar, tingkap luar dan kawasan di mana burung merpati berkumpul dan juga membersihkan tandas.
Pengurusan kebersihan di Masjidil Haram berkata, membersihkan masjid mengambil masa 45 minit, manakala mataf dibasuh dalam masa 20 minit dan 400 liter air digunakan dalam proses.
301 mesin dan peralatan digunakan dalam proses pembersihan dan ia termasuk mesin basuh, mesin pembersihan lantai, pembersih vakum dan kereta golf.
Bagi permaidani, lebih daripada 150 permaidani dicuci sehari dalam dobi permaidani terbesar di Makkah.
Syarikat yang bertanggungjawab bagi membersihkan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah menggantikan bahan pencuci kimia dengan bahan pencuci organik semula jadi yang diperbuat daripada bakteria baik seperti yang terdapat dalam tumbuh-tumbuhan serta tenusu dan mereka diproses untuk menghasilkan enzim semula jadi.
Bakteria membantu dalam proses pembersihan kerana ia merawat dan memecahkan kotoran seperti habuk, bakteria berbahaya, darah dan air kencing.
Proses rawatan berlangsung selama 14 hari dan bakteria dirawat dan kotoran menjadi tidak berbahaya. Produk pembersihan semula jadi juga menghilangkan bau yang tidak menyenangkan.
Manakala, 200 gelen air mawar digunakan untuk mewangikan lorong masjid menggunakan peralatan moden.
Bagi mengekalkan keharuman masjid, enam pembakar kemenyan wangi masjid dipasang antara matahari terbenam dan solat malam, manakala pegawai masjid pula akan menyembur minyak wangi ke longkang Kaabah, kiswah, dan batu hitam lima kali sehari. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my