Menundukkan hawa nafsu langkah pertama dalam perjalanan keimanan

 

(Memahami sirah Nabi S.A.W dengan menekuni kitab An-Naba’ul ‘Adzim, karangan Dr Muhammad Abdullah Darraz rahimallah, sambil itu menyelusuri sirah Nabi S.A.W dan para sahabat untuk memahami realiti yang telah didatangkan Allah didalam Al-Quran)

Kata Dr Muhammad Abdullah Darraz dalam risalahnya :

“Tidak sempurna iman seorang hamba itu kecuali jika telah beriman dengan Allah S.W.T dan redha dengan hukum Allah ketika dalam bilangan kecil atau ramai, dan berhukum dengan syariat-Nya sahaja dalam setiap aspek dalam dirinya, hartanya, maruahnya dan kecuali dia seorang hamba kepada selain tuhannya.”

Berhukum atau hidup dengan ketetapan selain dari Allah dalam kehidupan merupakan samaada kafir, syirik kepada Allah, munafiq, sesat, pengikut hawa nafsu, zalim, mengikut hukum jahiliyyah dan taqlid orang kafir dan musyrik.

Para sahabat begitu hebat dalam meninggalkan jahiliyyah dan berjihad menentang jahiliyyah dan kekufuran di dalam satu saf-saf yang tersusun untuk menegakkan suruhan Allah diatas muka bumi.

Tidak pula mereka mempedulikan ejekkan atau ancaman orang kafir dan munafiq ketika mereka membentangkan kebenaran Islam dengan mereka sendiri mendatangkan ancaman yang besar dari Allah.

3 perkara yang menjadi asas kepada kekuatan dan kejayaan para sahabat ini adalah :-

1. Iman yang mendalam
2. Pembentukan yang kemas
3. Amal yang berterusan

Antara perkara utama yang dilakukan Nabi S.A.W kepada para sahabat didalam membina jiwa ar-rujulah (kejantanan) para sahabat adalah memandu atau menundukkan hawa nafsu mereka dari kehidupan dan nikmat dunia bagi langkah pertama untuk 3 perkara asas yang telah disebutkan tadi.

Kata Ad-Daqqaq kepada seorang yang telah menempuh satu jalan yang jauh untuk mendapatkan nasihat beliau :

ليس هذا الامر بقطع المسافات . فارق نفسك بخطوة ؛ يصل لك مقصودك

“Masalah ini (penyucian jiwa dan mendekatkan diri dengan Allah) tidak mungkin dapat dicapai dengan semata-mata telah menempuh perjalanan yang jauh. Ceraikanlah hawa nafsumu satu langkah saja, maka engkau akan mencapai apa yang engkau cari !

Para aktivis dakwah dan tarbiah masa kini, perlulah memahami bahawa walaupun mungkin kita telah lama berada di jalan dakwah dan tarbiah ini namun jika kita masih terbelenggu dengan hawa nafsu maka ketahuilah kita masih belum mencapai ertikata hakikat sebenar mentarbiah diri untuk ubuddiyah kepada Allah.

Hakikatnya kejayaan langkah pertama para aktivis dakwah dan tarbiah dalam mengangkat panji Islam adalah dengan dia mencabut hawa nafsu dari akarnya dalam diri. Sehingga dia memenuhkan didalam dirinya sifat Ar-rujulah (kejantanan).

(وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ)
[Surat Al-Mu’minun 71]

Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;

Kata Ibnu Jauzi :

في قوة قهر الهوى لذة تزيد على كل لذة

“Dalam penaklukan hawa nafsu itu terdapat kenikmatan yang mengatasi semua kenikmatan”

Mustafa Sodiq Al-Rafi’i berkata :

Ar-Rujulah (Kejantanan) seseorang akan terwujud pada tiga sifat :
(1) Seseorang yang beramal berdasarkan kewajipan yang semestinya, bukan diatas dasar hawa nafsunya
(2) Dia menerima semua itu dengan ikhlas seperti seorang pekerja yang yakin akan mendapat ganjaran yang sangat besar
(3) Dia mampu beramal dan menerimanya hingga ke akhirnya.

Sekiranya para aktivis dakwah masa kini betul bersungguh-sungguh dalam amalnya, hendaklah dia berpegang dengan 3 sifat ar-rujulah ini. Melaksanakan kewajipan menanti ganjaran Allah, bukan pujian dan bukan pula kekuasaan. Kemudian keteguhan hati dalam melakukan semua itu.

Setelah berjaya kita menundukan hawa nafsu kita, maka disitulah bermulanya langkah pertama kita dalam jaulah imaniyyah (perjalanan iman) yang panjang yang pastinya memerlukan kita kepada :-

(1)Ikhlas
(2)Tadhiyyah (pengorbanan)
(3)Amal
(4)Jihad
(5)Sabar

Perjalanan iman ini akhirnya membawa kita kepada destinasi terakhir yang sudah pastinya menjadi cita-cita dan buruan orang yang benar beriman kepada Allah.

(مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا)
[Surat Al-Ahzab 23]

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Wallahu’alam.

Muhamad Amirul Asyraf
Mahasiswa World Islamic Sciences and Education University (WISE), Jordan

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts