SHAH ALAM – Cabaran sebenar seseorang Muslim itu ialah apabila dia berada dalam keadaan zon selesa, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Katanya, apabila umat Islam berada dalam zon selesa, ia menjadikan dia tidak merasakan akan keperluan menuntut ilmu dengan lebih mendalam.
“Jadi bila dah ada dalam “comfort zone” ini, bila sampai bab nak mendalami agama, nak belajar agama, kita anggap itu sampingan sahaja.
“Kalau ini la bertapak dalam diri kita, masalah ni bukan hanya pada diri kita, ia akan berjangkit pada orang lain juga. Pada anak anak dan keluarga.
“Orang lain dah kedepan. Kita masih di takuk yang lama. Kita dah tersisih dan tersimpang jauh.
“Inilah cabaran yang ada pada kita yang dapat kita gambarkan,” katanya ketika memberi ceramah di Masjid Baitul Mahabbah, Seksyen 27, Shah Alam, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai seorang Islam yang mukmin, adalah perlu untuk seseorang individu itu menjaga agama sebagaimana dia menjaga diri, keluarga, anak dan rumahnya.
“Bila mana kita berada dalam sebuah kehidupan. Maka kehidupan kita ni kita tak boleh kata baik, tak baik.
“Melainkan ada kayu ukur dan neracanya, maka di situ nampaklah baik tak baik.
“Kadang-kadang, kita solat, kita rasa macam kita baik dah.
“Ada pula keluarga lain yang jemaah kat rumah, ada yang bawak keluarga pergi solat kat masjid. Yang ni kita tengok lagi baik dari kita.
“Justeru, di sini lah kita nak tahu macam mana peranan kita sebagai orang Islam.
“Macam mana nak tegakkan agama dalam diri kita.Kita sendiri yang mencorakkan hidup kita. OK ke KO,” katanya.
Beliau turut memberi contoh bumi Syam suatu ketika dahulu, yang mana buminya dilimpahi bermacam-macam kelebihan.
“Bumi Syria ini hebat. Negara ekonomi, Syam, berbanding kota Damsyik.
“Negerinya Allah kurniakan banyak kelebihan. Antaranya sungainya cukup baik, kadang kita tengok air sungai, rasa lalu nak minum.
“Tanah-tanahnya subur, anggur tu sebesar ibu jari kaki. Buah delima, sebesar kepala kita. Sebiji tu sekilo dah. Tembikai dia besar, harganya murah.
“Rakyatnya tak lah tertekan, walaupun kita nampak ketakutan kerana sistem kuku besi.
“Tapi apa yang berlaku sekarang. Habis hancur. Yang keluar dari negara begitu ramai, terpaksa melarikan diri berkelana. Sayang, negeri yang subur,” katanya.
Beliau menasihati masyarakat untuk muhasabah apabila melihat negara seperti itu.
“Kita tengok kehidupannya jauh dari agama. Bukan tak ada ahli agama, ada.
“Tetapi apabila diberi sedikit kelebihan hidup, berlaku kezaliman, penipuan. Dalam hati-hati mereka ni bengkek. Mereka ini rasa takabbur.
“Mereka buat macam itu akhirnya merana. Sayang seribu kali sayang,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my