Benteng apa lagi selain iman?

 

Islam tidak menghalang kita mengambil langkah-langkah tertentu untuk menghalang umatnya daripada terdedah kepada perkara-perkara yang dimurkai Allah samada dipanggil maksiat ataupun kemungkaran. Ini disebabkan kesan kemungkaran dan kemaksiatan itu bukan sahaja akan terkena kepada pembuatnya sahaja tetapi masyarakat juga akan mendapat kesan.

Firman Allah SWT: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya. (Al-Anfal: 25)

Membuat undang-undang ataupun peraturan yang dapat mengekang maksiat daripada dipromosi kepada masyarakat tidaklah dikira mengekang hak asasi manusia kerana hak Allah dan hak masyarakat untuk hidup selesa berperaturankan dengan peraturan Allah adalah lebih diutamakan daripada meraikan kehendak-kehendak individu yang terang-terangan melanggar perintah Allah dan menjadikan anggota masyarakat lain merasa resah.

Al-Quran dan al-Sunnah memaparkan contoh bagaimana jalan-jalan menuju maksiat di tutup sejak awal-awal lagi seperti larangan berdua-duaan berlainan jantina, arahan menundukkan pandangan kepada lelaki dan wanita, larangan melunakkan suara tanpa sebab bagi kaum wanita, larangan mendekati zina dan lain-lain.

Firman Allah SWT: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Al-Ahzab: 32)

Firman Allah SWT : Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (Al-Nur: 30)

Secara teorinya, boleh sahaja kita beralasan secara simplistik bahawa tidak perlu untuk dibuat undang-undang mahupun peraturan yang menyusahkan untuk mengawal dosa-dosa daripada membanjiri masyarakat; kerana terpulanglah kepada pilihan masing-masing dan setiap orang ada iman masing-masing.

Namun hakikat yang perlu kita insafi ialah setiap manusia tidak punya kualiti iman yang sama bahkan manusia sangat mudah untuk berubah pendirian bahkan bukan sedikit manusia selalu kalah dengan hawa nafsu. Al-Quran sendiri sentiasa mengingatkan manusia supaya lebih berhati-hati dengan tipudaya syaitan dari spesis jin dan manusia.

Kewajipan pemerintah umat Islam ialah sedaya upaya perlu memastikan aqidah, ibadah dan akhlak rakyatnya terjaga dan terkawal. Bagaimana penyakit perlu disekat daripada terus merebak kepada masyarakat, begitu jugalah wabak-wabak yang boleh merosakkan aqidah, akhlak dan syariat wajib dikekang.

Promosi kebebasan menukar agama sebagai hak asasi manusia, promosi hubungan jenis tanpa nikah, promosi hubungan songsang homoseks dan lesbian perlu disekat lebih-lebih lagi apabila promosi dibuat melalui media massa seperti tayangan-tayangan di pawagam. Lebih-lebih lagi apabila ia diselitkan di dalam filem-filem yang menjadi kegemaran anak-anak kecil dan remaja.

Agensi yang diamanahkan untuk menapis adegan-adegan yang tidak sesuai dengan nilai Islam dan budaya timur hendaklah bertegas dan meletakkan perhatian membangunkan generasi masa hadapan yang sahih aqidahnya, mulia akhlaknya dan sahih ibadahnya. Begitu juga dengan rancangan yang sarat dengan takhayyul dan khurafat.

Jika filem-filem ini lobos dari saringan agensi-agensi yang diamanahkan maka ibubapa sangat berperanan untuk bertindak sebagai benteng yang akan menyaring filem-filem ini. Seringlah bercerita kepada anak-anak betapa Islam sangat melarang perbuatan murtad, homoseks , lesbian, hubungan terlarang dan sebagainya.

Maka jika ibubapa juga gagal memainkan peranan maka akhirnya kepada diri masing-masing untuk menjadikan iman dan ilmu sebagai benteng terakhir untuk mengelakkan diri dari terperangkap dengan jaring-jaring syaitan dan nafsu.

Namun, hendaklah diinsafi bahawa setiap pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, sehingga masyarakat rosak. Sudah mula lazat dengan kemaksiatan dan kemungkaran, maka setiap kita akan menerima habuan masing-masing apabila bertemu nanti dengan Allah SWT. Benteng apa lagi yang tinggal bersama kita kecuali iman!

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts