Transkrip penuh ucapan pembentangan RUU 355

 

Berikut adalah transkrip penuh ucapan pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 6 April 2017:

Saya mohon untuk menyambung serta menghuraikan usul yang telah saya bentangkan mengikut peraturan mesyuarat 49(1) yang dibaca bersama peraturan Mesyuarat 28. Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Persidangan Dewan Rakyat pada 24 November 2016 yang lalu di Dewan yang mulia ini.

Saya berdiri hari ini sebagai anggota Dewan Rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam ruang lingkup tugas saya untuk membawa suatu Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 yang dibenarkan.

Pertama-tama izinkan saya dalam Dewan Parlimen yang mulia ini, mengucapkan syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT dan terima kasih kepada semua yang telah mengizinkan kita membentangkan usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) buat kali ketiga bagi meminda Akta 355 sedia ada, iaitu suatu akta yang mengawal bidang kuasa Mahkamah Syariah, Mahkamah di dalam negeri-negeri di Malaysia. Akta asal ini telah diluluskan 50 tahun yang lalu pada tahun 1965 dan hanya dipinda 35 tahun yang lalu pada tahun 1984.

Usul Pindaan ini yang telah saya kemukakan buat pertama kalinya pada 26 Mei 2016 di dalam Dewan yang mulia ini bukanlah bertujuan untuk mewujudkan undang-undang baru sepertimana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak selama ini, tetapi lebih bertujuan untuk meminda sebuah Undang-undang Persekutuan berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah berkaitan batas hukuman sedia ada, dan terkandung dalam Akta 355 berkenaan yang telah dipinda pada tahun 1984 daripada had maksimum 3 tahun penjara atau denda tidak melebihi RM5,000, atau maksimum 6 sebatan kepada maksimum 30 tahun penjara, denda tidak melebihi RM100,000 dan sebatan syarie sebanyak 100 kali sebatan.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Kita ingin menegaskan bahawa Usul Pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) ini hanya terpakai kepada orang-orang Islam di dalam negara ini dan tidak terpakai kepada golongan bukan Islam sebagaimana dalam Akta asalnya dan sejarah sudah membuktikan bahawa sejak Akta 355 ini diluluskan 52 tahun yang lalu, belum pernah ada seorang bukan Islam yang didakwa kesalahannya di bawah mana-mana Mahkamah Syariah Negeri-Negeri, Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri-Negeri yang diwujudkan daripada Akta induk ini.

Oleh hal yang demikian, kita memohon Yang Berhormat bukan beragama Islam tidak perlu berasa bimbang akan implikasi cadangan pindaan ini kerana tiada seorang warga bukan Islam yang akan disabitkan atas apa-apa kesalahan Jenayah Syarie di bawah Akta 355 ini. Usul ini membabitkan sebuah Akta peringkat Persekutuan dan ini bermakna ia masih tertakluk kepada persetujuan pemakaian kepada Negeri-Negeri kerana ia di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Segala urusan agama Islam dan perlaksanaan hukum di bawah Mahkamah Syariah terletak di bawah kuasa Negeri-negeri di bawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan Raja-Raja selaku Ketua Agama Islam Negeri.

Apa perlunya Akta 355 ini dipinda? Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 Akta 355 adalah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah. Pada masa sekarang, bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah ialah sangat terbatas. Mengikut Perlembagaan, Mahkamah Syariah adalah mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan setakat yang diberi oleh Undang-Undang Persekutuan.

Mengikut Muslim Court (Criminal Jurisdiction) Act 1965, Mahkamah Syariah hanya diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih 6 bulan, atau denda tidak lebih RM1,000, atau kedua-duanya. Bidang kuasa itu telah ditambah pada tahun 1984 dengan pindaan kepada Akta itu, dan Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara, tidak lebih tiga tahun atau dengan tidak lebih 5,000 ringgit, atau sebat tidak lebih 6 sebat atau gabungan hukuman itu.

Bidang kuasa ini masih rendah dari bidang kuasa Majistret kelas 1 yang biasanya boleh membicarakan kes yang boleh dihukum dengan penjara 10 tahun, dan boleh menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara, atau denda 10,000 ringgit, atau sebat 12 pukulan atau gabungannya. Batas hukuman itu juga amat jauh ketinggalan berbanding hukuman kesalahan dalam Mahkamah Sivil sedia ada yang menjadi undang-undang teras negara kita.

Sebagai contoh, bagi sesuatu kesalahan di bawah Akta Hidupan Liar, Undang-Undang Sivil boleh memperuntukkan denda sehingga 50,000 ringgit ke atas seorang yang didapati bersalah memelihara burung tertentu, sedangkan kesalahan Syariah seperti mengajak ajaran sesat yang berjaya menyelewengkan akidah atau memurtadkan sebegitu ramai pengikutnya yang beragama Islam di negara ini, jika disabitkan kesalahannya, hanya boleh didenda tidak lebih daripada 5,000 ringgit, apakah demikian rendahnya nilai harga sebuah akidah Muslim? Tergamakkah kita membiarkan agama Allah dimartabatkan sedemikian rendah di negara kita yang memperuntukkan agama Islam selaku agama negara di bawah perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan?

Begitu juga seorang suami Muslim yang tidak bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya, meninggalkan mereka bertahun-tahun lamanya berpoya-poya di luar tanpa memberi nafkah ke atas isteri dan anak-anaknya. Apabila didakwa oleh isteri dan disabitkan kesalahan di bawah Mahkamah Syariah, akan mudah membayar denda tidak melebihi 5,000 ringgit berbanding dengan puluhan ribu atau mungkin mencecah ratusan ribu ringgit berbanding kesalahan yang hampir sama keadaannya di Mahkamah Sivil. Di manakah kaum wanita Islam akan memperolehi keadilan dan pembelaan sewajarnya dalam sebuah negara yang diterajui oleh orang-orang Islam dalam keadaan mereka dianiayai begitu rupa kecualilah jika batas hukuman yang lebih tegas dikenakan di bawah Akta 355 sedia ada.

Sesungguhnya, apa yang dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman maksimum kepada paras hukuman yang hampir atau sepadan dengan hukuman syarak Islam yang memang sudah termaktub di dalam sumber-sumber hukum di bawah panduan Al-Quran, Hadis Nabi SAW, Ijmak dan Qias para ulama.

Kita sedia maklum Tuan Yang Dipertua, bahawa Undang-Undang Sivil yang diperbuat di bawah kuasa Perlembagaan negara yang diwarisi daripada Suruhanjaya Reid warisan British yang terpakai sehingga ke hari ini menjadi undang-undang rasmi di negara di mana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi. Namun kita ingin mengingatkan semua Ahli Dewan yang mulia ini juga bahawa di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang sama juga, Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Dalam hal ini tidakkah Ahli-ahli Yang Berhormat terfikir bagaimana rakyat beragama Islam di dalam negara sebenarnya seakan-akan dilarang, tidak dapat mengamalkan agamanya sendiri dengan sepenuhnya, dengan pembelaan yang dijanjikan oleh Islam dalam keadaan yang mereka yang bukan Islam telah mengganggu hak orang Islam mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya termasuklah Syariah hukuman yang terkandung di dalamnya. Kita juga mendengar kuat suara membantah Pindaan Akta 355 ini dengan alasan bahawa pindaan ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tuan Yang Di-Pertua,

Kita ingin bertanya kepada semua Yang Berhormat di dalam dewan yang mulia ini, bagaimana mungkin cadangan pindaan batas hukuman ditingkatkan ini bertentangan dengan Perlembagaan negara sedangkan tiada apa-apa cadangan konsep kandungan Akta 355 yang asal? Jika tiada perubahan ini dalam kandungan pindaan kesalahan jenayah Syariah yang baru, sudah tentu mahkamah di Negeri-negeri akan mengekalkan semua isi dan bentuk hukuman sedia ada. Ini bermakna tiada peruntukan baru dikuatkuasakan yang memungkinkan peruntukan tambahan diwujudkan dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kita juga ingin mengingatkan bahawa jika usul Pindaan 355 ini diterima dan diluluskan, semua Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri mempunyai waktu dan kesempatan seluas-luasnya untuk membahaskan pemakaian batas-batas hukum baru yang diluluskan itu untuk setiap kesalahan jenayah Syariah di Negeri sedia ada. Di sinilah sepatutnya Ahli-Ahli DUN nanti menggunakan kebijaksanaan masing-masing sewaktu wakil lantikan Negeri-negeri membahaskan isi dan bentuk hukuman kesalahan Syariah untuk dilaksanakan oleh Mahkamah-mahkamah Syariah.

Oleh yang demikian janganlah kedengaran lagi bahawa cadangan Pindaan Akta 355 ini merupakan pintu belakang ke arah perlaksanaan hukum Hudud di Malaysia. Dan untuk melaksanakan Undang-Undang menyamai hukum Hudud dalam Syariah di Malaysia sekurang-kurangnya tiga pindaan kepada beberapa bahagian dalam Perlembagaan perlu dilakukan. Dan sudah tentulah ia perkara yang sukar untuk dilakukan. Ini adalah kerana penggunaan 355 hanya terhad kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah yang merujuk kepada kuasa-kuasa yang disenaraikan dalam Butiran Satu Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Tuan Yang Dipertua,

Pindaan Akta 355 ini tidak memungkinkan Undang-Undang Jenayah seperti mencuri, merompak, merogol, bunuh, dan menyebabkan kecederaan kesalahan yang wujud dalam Kanun Keseksaan atau ‘Penal Code’. Terletak di bawah kuasa Persekutuan dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil di mana kuasa bidang penguasa seperti polis, penjara juga terletak di bawah kuasa Persekutuan Federalis selain daripada pindaan pada Butiran Satu kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76 A juga perlu diperolehi bagi membolehkan Negeri menggubal dan melaksanakan undang-undang jenayah yang termaktub dalam senarai Kuasa Persekutuan.

Ini diikuti Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang juga perlu dipinda supaya tidak timbul isu diskriminasi, ketidakadilan dan kesamarataan hak warga Malaysia yang dibezakan peruntukan Undang-Undang kerana berbeza agama. Akta 355 tidak melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri dan merompak yang merupakan bidang kuasa Persekutuan. Jadi Pindaan Rang Undang-Undang 355 hanya melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam Enakmen Jenayah Negeri-Negeri.

Kita ingin mengingatkan bahawa dalam negara berbilang kaum dan penganut agama seperti Malaysia, perkembangan politik negara yang berkait rapat dengan hal ehwal keagamaan perlu ditangani dengan matang. Namun sikap sekelompok ahli politik sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam yang menentang penambahbaikan sistem Kehakiman Syariah negara amatlah dikesali.

Penentangan mereka terhadap Pindaan Akta 355 ini adalah petanda buruk kepada kematangan politik perpaduan dalam negara ini. Ahli-Ahli Dewan Rakyat bukan Islam tidak berhak untuk menolak penambahbaikan kepada Mahkamah Syariah, hanya atas dasar mereka bukan Islam. Mereka perlu sedar yang mereka juga bertanggungjawab kepada sekelompok masyarakat Islam yang mereka wakili. Mereka langsung tidak mengorbankan hak peribadi atau hak kelompok bukan Islam yang mereka wakili. Pindaan ini hanya demi kepentingan masyarakat Islam yang mereka wakili.Jika kepentingan sedemikian yang begitu didambakan oleh masyarakat Islam tidak dapat ditunaikan, apakah yang boleh diharapkan dari mereka jika hak dan kepentingan umat Islam itu bercanggah dengan kepentingan peribadi mereka?

Kepimpinan politik di peringkat Negeri perlu menyedari bahawa autonomi sebenar yang akan dinikmati hasil daripada Pindaan 355 itu nanti adalah Kerajaan Negeri, hanya Dewan Undangan Negeri, DUN, dengan perkenan Ketua Agama Negeri iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan, Sultan-Sultan yang berkuasa untuk memutuskan sama ada untuk menunaikan kadar hukuman yang diperuntukkan dalam Enakmen-Enakmen Syariah Negeri. Akta 355 yang berada di bawah kuasa Parlimen hanya berfungsi meletakkan hukuman maksimum yang boleh digubal oleh Dewan-Dewan Undangan Negeri.

Kita ingin mengulangi bahawa Bidang Kuasa Mahkamah Syariah terhad setakat kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam Butiran Satu Senarai Negeri. Perlembagaan Persekutuan, malah Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa ke atas bukan Islam, hatta jika berlaku persetubuhan antara Islam dan bukan Islam, hanya yang Islam sahaja yang boleh dituduh di Mahkamah Syariah. Sebaliknya jika seorang Islam merogol bukan Islam, siasatan dan pendakwaan bagi kes itu hanya boleh dilakukan oleh polis di bawah kesalahan kanun keseksaan.

Rang Undang-Undang 355 bertujuan memperkenalkan prinsip, konsep dan sistem kehakiman Islam juga memperkenalkan konsep dan cara hukuman Islam yang berbeza dengan yang lain, kerana tujuannya mendidik penjenayah dan masyarakat, bukannya menyeksa. Di mana, kehakiman Islam berdasarkan kepada dua prinsip, beriman kepada Allah, beriman kepada hari akhirat. Dua konsep, takwa dan adil terhadap semua. Beriman kepada Allah, kepada hari akhirat, merupakan rukun iman bagi seorang Islam yang menjadi hakim dan melibatkan diri dalam mahkamah.

Firman Allah Taala:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ
وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

“Penzina perempuan, penzina lelaki hendaklah disebat (sebanyak) 100 sebatan. Jangan kamu kasihan terhadap mereka dalam perkara hukum Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (an-Nur: 2)

Menunjukkan betapa kehakiman Islam berkait dengan beriman kepada Allah dan hari akhirat. Konsep taqwa dan adil terhadap semua, ini merupakan konsep yang wajib kepada orang Islam:

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا
اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ

“Jangan dengan sebab kamu bermusuh dengan suatu kaum, kamu tak berlaku adil (terhadap kaum tersebut), berlaku adillah, adil lebih hampir kepada takwa.” (al-Ma’idah: 8)

Dengan makna, terhadap musuh Islam mewajibkan kita adil. Kita menganggap rakyat Malaysia bukan Islam bukan musuh, mereka adalah sahabat-sahabat kita. Kalau dengan musuh, Islam mewajibkan orang Islam adil dan ini sifat takwa, apa lagi rakyat warganegara yang dianggap sebagai saudara anggota masyarakat. Ini perlu menghilangkan kebimbangan.

Yang kedua, hukuman dera dalam Islam adalah hukuman mendidik bukan menyeksa. Sebatan dalam Islam berbeza dengan sebatan dalam Undang-Undang Sivil, sebatan dalam Islam disebut dalam kitab-kitab fekah semua mazhab, mesti dengan alat sebat yang sederhana, yang tidak berat dan tidak ringan, tidak boleh mengangkat lebih tinggi daripada kepala, tidak boleh mengoyakkan kulit, tidak boleh mencederakan, dengan tujuan untuk memalukan, bukan untuk menyeksa, ini sebatan dalam Islam.

Bunyinya 100, bunyinya 20, tetapi berbeza dengan sebatan Undang-Undang Sivil, bahkan disebut dalam Hadis Nabi SAW, apabila dimaklumkan orang yang melakukan kesalahan 100 sebat itu seorang yang kurus, kalau dipukul terkena tulangnya, lalu Nabi menyebut gunakan 100 batang ranting dan pukul satu kali sahaja. Ini sebatan Islam yang perlu diperkenalkan kepada umum yang berbeza dengan hukuman sebat mengikut hukum Sivil yang ada pada hari ini.

Kesimpulan, terlalu amat banyak perlindungan kepada masyarakat bukan Islam yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, dan hukum Islam daripada Nas dan Perlembagaan Persekutuan dan hukum Islam daripada Nas Quran dan hadis yang disebut perlindungan kepada orang bukan Islam. Firman Allah Taala:

فَإِن جَاءُ وكَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ

“Jika sekiranya orang bukan Islam datang kepada kamu, kamu boleh bawa mereka (ke Mahkamah Islam) dan kamu boleh biarkan mereka sendiri dengan (mahkamah) mereka.” (al-Ma’idah: 42)

Ini mengikut pemilihan masyarakat bukan Islam itu sendiri. Ini bukan Perlembagaan Persekutuan, termasuk Quran sendiri menyatakan demikian. Hanya ahli politik yang kemaruk kepada undi mereka sahaja yang hampir menjadi hilang kewarasan, mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat bukan Islam untuk menolak Pindaan Akta 355 ini.

Kita ingin mengingatkan bukan Islam jangan permain-mainkan agama Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Di mana Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah mengangkat sumpah jawatan akan memelihara Agama Islam selaku Agama Negara, mendaulatkan Islam merupakan Agama Negara menjadi cita-cita setia warganegara Malaysia dan PAS terus akan membawa obor mendaulatkan Islam di negara ini dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sedia ada.

Maka dengan ini, Marang mohon mengusulkan supaya Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah Bidang Kuasa Jenayah Akta 355 ini diterima untuk dibahas sepenuhnya oleh Ahli Yang Berhormat Yang Mulia.

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts