FIRMAN ALLAH SWT: “Tidakkah Engkau perhatikan (dan berasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian daripada Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah selain ALLAH (iaitu kepada Jibt dan Thaghut) dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih benar agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi SAW).
“(Kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat ALLAH; dan sesiapa yang dilaknat ALLAH, pasti tidak akan mendapat penolong baginya.” (Surah An-Nisaa’: 51 & 52)
SEBAB TURUN AYAT
Diriwayatkan daripada Ahmad dan Ibnu Abi Hatim, daripada Ibnu Abbas RA, mereka berkata: “Sewaktu Ka’ab bin Asyraf iaitu seorang tokoh Yahudi datang ke Makkah, maka orang-orang Quraisy datang kepadanya dengan berkata: “Tidakkah kamu melihat dia (Muhammad) menyangka dia lebih baik daripada kami?
Sedangkan kami adalah petugas-petugas haji yang memberi makan dan minum kepada jemaah dan menjaga keamanan mereka.” Maka Ka’ab bin Asyraf menjawab: “Kamu lebih baik daripada dia (Muhammad).” Maka turunlah ayat mengenai mereka: “Sesungguhnya orang yang membencimu, dialah orang-orang yang terputus.” (Surah Al-Kauthar: 3)
Kemudian ALLAH menurunkan pula ayat: “Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang diberi al-Kitab…” (Surah Al-Nisa’: 51-52)
Ibnu Ishak pula meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, katanya: “Di antara orang-orang yang berusaha untuk menggerakkan pakatan di antara orang-orang Quraisy dengan Gathaan dan Bani Quraizhah ialah Huyai bin Akhthab, Salam bin Abu Haqiq, Abu Rafi’, Rabi’ bin Abu Haqiq, Abu Imarah dan Haudzhah bin Qais. Kesemua mereka ini berasal daripada golongan Bani Nadhir.” Ketika mereka mengadakan kunjungan terhadap orang-orang Quraisy, beberapa orang daripada penduduk Makkah berkata: “Mereka itu adalah pendeta Yahudi dan alim mengenai kitab-kitab suci yang pertama dahulu. Adalah lebih baik untuk bertanya kepada mereka, manakah yang lebih baik, adakah agama kamu atau agama yang dibawa oleh Muhammad?” Lalu mereka menjawab: “Agama kamu lebih baik daripada agama mereka, dan kamu lebih banyak mendapat petunjuk daripadanya dan daripada pengikut-pengikutnya.” Maka ALLAH pun menurunkan ayat 51 hingga 54 daripada Surah An-Nisaa’.” (Lubab Al-Nuqul: 59)
INTI SARI PENTING
Dalam ayat ini ALLAH memberikan persoalan, bagaimana orang-orang yang telah diberikan sebahagian daripada Kitab Taurat tetapi mereka masih lagi percaya kepada benda-benda yang boleh menyesatkan mereka?
Tidak dinafikan, ada sekumpulan manusia yang percaya kepada benda-benda yang disembah selain ALLAH. Iaitu mereka yang mempercayai dan menyembah Jibt dan Thaghut. Jibt dan Thaghut (syaitan dan apa sahaja sembahan selain ALLAH) yang boleh menambahkan lagi kesesatan mereka dalam mencari kebenaran.
Mereka yang menyembah selain ALLAH adalah mereka yang mensyirikkan ALLAH dengan sesuatu yang lain. Sudah pasti ALLAH akan memberikan balasan azab ke atas perbuatan mereka.
Bahkan dalam ayat ke-52, Surah An-Nisaa’ telah menyatakan kepada kita mereka yang menyembah selain ALLAH, maka mereka akan dilaknat ALLAH. Apabila ALLAH telah menurunkan laknat ke atas mereka maka tidak ada seorang pun yang mampu dan dapat memberikan pertolongan. Pastinya penyesalan pada waktu itu sudah tidak memberikan apa-apa makna dalam mengubah hukuman yang ALLAH tetapkan.
Menjadi kewajipan setiap orang yang beriman untuk menyembah ALLAH. Tunduk dan patuh terhadap segala suruhan-Nya tanpa banyak persoalan. Menjauhi segala larangan dan tegahan ALLAH juga adalah menjadi satu kemestian dalam memastikan keimanan terus utuh dan teguh kepada yang Maha Esa. Sekiranya iman kita dijaga dengan sempurna maka segala ujian dan musibah yang melanda dapat dihadapi dengan penuh kesyukuran.
TELADAN
Pengertian syirik ialah menyembah atau mentauhidkan sesuatu selain daripada ALLAH. Manakala amalan khurafat dalam Islam pula boleh diterjemahkan sebagai sesuatu rekaan atau khayalan, ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Berdasarkan takrif tersebut, amalan ini merangkumi cerita dan perbuatan yang direka serta bersifat karut dan dusta yang mana sama sekali terpesong jauh daripada lunas agama.
Amalan khurafat yang bertentangan dengan akidah Islam ini sekali gus menjejaskan iman seseorang atau menyebabkan syirik kepada ALLAH. Sebagaimana yang kita ketahui syirik adalah salah satu dosa yang tidak diampuni ALLAH, sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nisaa’ ayat 48.
Antara ciri amalan dan kepercayaan khurafat, ia tidak bersumberkan nas syarak sama ada daripada al-Quran mahu pun hadis. Ia hanyalah cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut disandarkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam.
Amalan ini juga berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus bertujuan memudaratkan dan menyeleweng daripada akidah Islam. Wajib bagi kita sebagai seorang Islam menjauhi perkara sebegini yang boleh menyesatkan.
Daripada Abdullah Bin Shaqiq, beliau pernah bertanya kepada isteri Rasulullah SAW, Aisyah perihal solat sunat Baginda SAW. Lalu Aisyah menjawab: “Rasulullah pernah mendirikan solat malam yang panjang dalam keadaan berdiri.
Baginda juga pernah melaksanakannya dalam keadaan duduk. Sekiranya Baginda solat dalam keadaan berdiri, Baginda akan rukuk dan sujud. Manakala sekiranya Baginda melaksanakannya dalam keadaan duduk, Baginda juga akan rukuk dan sujud.” (Riwayat Muslim, Tirmizi, Abu Dawud, Ibnu Majah, Nasa’i & Ahmad)
Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil
Editor Kanan Karya Bestari
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/fickry/hanya-allah-layak-disembah-1.659635
www.indahnyaislam.my