Persepsi yang memangsakan Islam

 

Kempen Islamophobia secara teratur, terancang dengan menggunakan seluruh kekuatan media memberi kesan yang sangat menyeluruh hatta kepada dunia Islam dan umat Islam sendiri.

Kesan yang paling zahir ialah masyarakat gagal membeza ataupun sengaja tidak mahu membezakan antara tindakan seorang Muslim atas kapasitinya sebagai seorang manusia ataupun tindakan itu berasal dari inti pati ajaran Islam.

Lantaran itu tindakan yang dianggap salah, jenayah melanggar undang-undang; apabila dilakukan seorang Muslim ataupun sekumpulan orang Islam secara pantas terus dikaitkan dengan Islam walaupun perkara-perkara itu jelas tidak selaras dengan ajaran Islam.

Islam diheret sekali dalam kesalahan seorang Muslim atas tindakannya sebagai seorang manusia. Namun perkara yang sama tidak berlaku jika ia dilakukan oleh penganut agama lain. Segala tindakan mereka dipertanggungjawabkan ke atas individu terbabit tanpa agamanya diheret sekali dalam isu berkenaan.

Definisi kamus bagi kosa ‘phobia’ ialah ‘ketakutan atau kebencian yang keterlaluan: ketakutan tidak rasional atau amat kuat dan benci terhadap sesuatu’. Secara mudahnya berdasarkan definisi ini, Islamophobia ialah ketakutan tidak rasional atau amat kuat atau benci terhadap Islam.

Namun, Islamophobia lebih dari sekadar makna ini dan ia turut menggabungkan kebencian kaum, sikap tidak bertoleransi, prejudis, diskriminasi dan stereotaip. Fenomena Islamophobia pada asasnya ialah kebencian berasaskan agama. Ia mempunyai dua aspek berbeza: dari sudut protagonis Islamophobia dan dari sudut mangsa Islamophobia. Istilah Islamophobia diperkenalkan pada 1996 oleh ‘Commission on British Muslims and Islamophobia’.

Tragedi terpencil yang berlaku di Malaysia sering kali membawa bukti masyarakat kita juga sangat terkesan dengan Islamophobia dan yang lebih menyedihkan ialah umat Islam secara gopoh menuding jari kepada Islam terlebih dahulu lebih pantas daripada orang-orang bukan Islam .

Sepatutnya orang Islam menjelaskan dan menerangkan perbezaan antara ajaran Islam sebenar dan tindakan seorang Muslim yang bersifat peribadi. Bahkan ada kalangan umat Islam yang menambah perisa Islamophobia dengan memperbesar-besarkan hal-hal  buruk mengenai perilaku Muslim dan dikaitkan dengan Islam manakala hal yang baik diperkecil-kecilkan.

Turut muncul dalam kalangan umat Islam sendiri golongan yang sangat apologetik, malu dan rasa rendah diri dengan Islam sehingga hilang rasa hormat orang bukan Islam kepada orang-orang Islam.

Sebagai contoh,  kes sedikit salah faham sehingga berlaku pergeseran seusai solat Jumaat di sebuah negeri selatan tanah air dan telah diselesaikan pihak berkuasa. Ramai yang membuat tanggapan dari jauh dan tidak tahu perkara sebenarnya berlaku.

Media yang ditularkan memaparkan tindakan seolah-olah ‘di luar batas undang-undang’ segelintir orang Islam-jika betul frasa ini digunakan- dan tidak sedikit dalam kalangan umat Islam secara semberono menyalahkan Islam dan seolah-olah mewakilkan seluruh umat Islam kepada tindakan sekelompok umat Islam.

Tindakan sekelompok umat Islam di tempat kejadian yang meredakan suasana berkenaan daripada bertambah buruk dengan menenangkan suasana dan melindungi pemandu dan penumpang kereta itu tidak pula diangkat sebagai ikon hebat yang mewakili Islam!

Orang bukan Islam di negara ini sepatutnya sudah sebati dan menerima hakikat kedudukan Islam di negara ini dan sepatutnya sudah tahu sensitiviti umat Islam sebagaimana umat Islam sedia memberi ruang kepada penganut bukan Islam menunaikan tuntutan agama masing-masing tanpa gangguan walaupun ada kalanya juga mengundang ketidakselesaan seperti kesesakan lalu lintas dan sebagainya.

Tindakan segelintir umat Islam tidak semestinya mewakili majoriti umat Islam mahupun ajaran Islam yang sebenar. Amat menghiris hati umat Islam apabila ada kalangan mereka memberi komen bahawa  umat Islam di Malaysia adalah teroris dan ALLAH itu syaitan.

Kita yakin ia tidak mewakili semua orang bukan Islam di Malaysia sebagaimana tindakan penganut Buddha diketuai mereka yang berpenampilan sami di Myanmar kepada orang Islam Ronghiya tidak mewakili ajaran Buddha itu sendiri. Sepatutnya semakin tua usia negara ini, rakyat berbilang kaum semakin faham memahami antara satu sama lain.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/persepsi-yang-memangsakan-islam-1.673515

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts