Lebih kurang seminggu lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kedatangan bulan Ramadan.
Hadirnya ibarat tetamu yang dinanti-nanti saban tahun.
Dalam bulan ini, umat Islam akan berpuasa dan melipatgandakan amalan mulia bagi merebut pelbagai kelebihan dan ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Mengenang realiti perjuangan umat Islam di Malaysia, kehadiran Ramadan diharap menjadi ‘stesen pemulihan’ bagi hati dan jiwa pemimpin dan masyarakat.
Menjadi masa sesuai sepanjang malam untuk bermuhasabah, merenung kembali maruah Islam yang semakin dicabar, namun tidak ramai yang berani untuk tampil mempertahankannya.
Musuh Islam berani mengisytiharkan agenda jahat mereka secara terbuka, tanpa rasa takut ditegur oleh pemimpin dan umat Islam.
Sikap prihatin dan sensitif terhadap isu-isu melibatkan kepentingan dan maruah Islam mesti dikuatkan dan ia bertitik tolak daripada keimanan dan cinta kepada agama.
Kita berharap bulan Ramadan menjadi medan memantapkan iman melalui ibadah yang dilaksanakan.
Amalan sahur, puasa, sedekah, solat Tarawih dan sebagainya perlu memberi nilai tambah kepada diri, bukan sekadar menjadi rutin biasa setiap tahun.
Allahumma ballighna Ramadan. Ya Allah, panjangkan umur kami untuk memasuki bulan Ramadan. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my