Seringkali kita dengar, setiap kali datangnya Ramadan, hadith ini akan memenuhi media sosial, meniti di bibir pendakwah menuturkan, kalam Nabi yang berbunyi, “Bulan Ramadhan, permulaannya rahmat (rahmah), pertengahannya adalah pengampunan (maghfirah) dan penghujungnya adalah pembebasan dari neraka.”
Pun begitu, atas populariti hadith ini, tidak ramai yang menyedari bahawa status hadith ini telah menjadi perbahasan panjang disisi ulama. Demi memastikan kesahihan sumber yang disandarkan kepada Rasulullah, pengkaji hadith telah mula, meneliti, menyusuri rantaian perawi hadith ini (sanad), serta melakukan penilaian terhadap teks (matan) yang disampaikan di dalamnya.
Analisis Terhadap Sumber Hadith
Menerokai sumber-sumber asas periwayatan hadith ini, kajian menunjukkan bahawa ianya adalah hadith yang popular dari zaman dahulu lagi. Hadith ini diriwayatkan oleh sahabat Nabi yang masyhur iaitu Salman al-Farisi dan Abu Hurairah. Ianya direkodkan oleh ramai ulama hadith di dalam karya mereka termasuklah al-Imam Ibn Khuzaimah (311H) di dalam Sahih Ibn Khuzaimah, Ibn Abi Dunya (281H) di dalam kitabnya Fadhail Ramadhan, Ibn Shahin (385H) melalui Fadhail Shahr Ramadhan, al-Baihaqi (458H) di dalam karya agungnya Syu’ab al-Iman), al-Asbahani (535H) menerusi karya beliau al-Targhib wa al-Tarhib.dan Ibn Asakir (571H) di dalam Fadhl Shahr Ramadhan. (Lihat Tanqih al-Anzar, 13-31)
Walaupun popular dikalangan masyarakat, kemasyhuran hadith ini tidak menjamin kesahihannya. Analisis terhadap rantaian perawi (sanad) yang dikemukan oleh mereka yang menukilkan hadith ini telah menemukan seorang perawi yang menjadi perhatian utama dalam kajian ini iaitu Ali bin Zaid bin Jud’an.
Ali bin Zaid adalah seorang perawi yang dikritik oleh ramai ulama hadith sehingga mereka menyifatkan bahawa apa yang diriwayatkan oleh Ali bin Zaid seharusya dihukumkan sebagai hadith yang daif, iaitu hadith yang bertaraf lemah kerana Ali bin Zaid disifatkan dengan pelbagai sifat yang negatif. Antaranya al-Imam Ahmad ibn Hanbal (241H), Ibn ‘Uyainah (198H) dan al-Nasa’i (303H) menyifatkan Ali bin Zaid sebagai seorang perawi yang lemah (daif al-hadith). Manakala al-Zahabi (748H) pula menggambarkan bahawa beliau sebagai perawi yang lemah daya ingatan. Malah al-Imam al-Bukhari (256H) Abu Hatim (277H) dan Yahya ibn Ma’in (233H) menyifatkan beliau sebagai seorang yang tidak boleh dijadikan hujah (la yuhtajju bihi). (Lihat, Siyar A’lam al-Nubala, 5/206-208)
Walaupun ramai yang melemparkan pandangan yang negatif tentang beliau, terdapat juga ulama yang memuji sifat Ali bin Zaid. Antaranya al-Zahabi yang menyatakan bahawa: “Beliau adalah sumber ilmu, cenderung kepada syiah dan kurang kuat ingatannya”. Al-Tirmizi (279H) pula memandang beliau sebagai seorang yang benar (saduq), melainkan ada riwayat yang diriwayatkan oleh Ali bertentangan dengan yang diriwayatkan oleh perawi yang lain. Malah Ibn Hibban (354H) pula mengiktiraf beliau sebagai sheikh yang mulia (shaikhan jaliyyan), namun banyak melalui kesilapan dalam pengriwayatan (yukhti’ fi al-athar). (Lihat, Mizan al-I’tidal, 3/127)
Percanggahan pandangan antara mereka yang menilai beliau sebagai seorang perawi yang lemah (daif) dengan kumpulan ulama yang memuji beliau dengan karakter yang positif telah menjadi titik pertikaian terhadap status hadith ini. Namun setelah dikumpulkan semua kritikan (al-tajrih) dan pujian (al-ta’dil) ulama hadith tentang beliau, jumlah kritikan dilihat mendominasi pandangan ahli hadith tentang beliau. Malah sekiranya diteliti, pujian yang diungkapkan oleh ulama seperti al-Zahabi, al-Tirmizi dan Ibn Hibban, kebiasaanya akan diiringi juga dengan kenyataan mereka tentang kelemahan Ali bin Zaid.
Kesannya, hadith ini telah dihukum daif (lemah) oleh ramai penilai hadith. Antara yang menghukumkannya sebagai hadith yang daif adalah Dr Mustafa al-A’zami melalui kajian beliau terhadap riwayat di dalam Sahih Khuzaimah (3/191). Malah sebahagian ulama hadith yang tegas seperti al-Albani menghukumkannya sebagai hadith munkar, iaitu hadith yang sangat lemah.
Bolehkah riwayat Salman dikuatkan dengan riwayat Abu Hurairah?
Di dalam ilmu hadith, ada kaedah yang digunakan oleh ulama untuk meperkuatkan riwayat yang lemah. Iaitu, sekiranya terdapat hadith yang daif, yang tidak terlalu berat daifnya, sekiranya terdapat riwayat yang lain yang lebih tinggi statusnya, maka hadith yang lemah tadi boleh dinaikkan ke tahap ‘hasan lighairih’ (hadith yang hasan/baik yang boleh digunapakai dan dijadikan hujah dalam perkara hukum hakam). Melalui kaedah ini, sesuatu hadith yang lemah boleh dinaikkan ke tahap hadith ‘hasan lighairih.’
Timbul persoalan, sekiranya hadith yang diriwayatkan oleh Salman di atas adalah daif (lemah), apakah tidak ada riwayat lain yang boleh membantu menguatkan riwayat Salman? Dalam perkara ini, memang terdapat pengkaji hadith yang cuba memperkuatkan hadith riwayat Salman ini dengan satu lagu hadith yang sama, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Teks hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah sama seperti yang diriwayatkan oleh Salman.
Walaubagaimapaun, disebabkan terdapat perawi yang dikatakan lemah di dalam riwayat Abu Hurairah, maka hadith Abu Hurairah tersebut dilihat tidak kuat untuk dijadikan hujah penguat bagi hadith riwayat Salman. Perawi lemah yang dimaksudkan adalah, Maslamah ibn Salt yang dinilai oleh Ibn Adi sebagai perawi yang tidak dikenali, malah Abu Hatim menyifatkan beliau sebagai perawi yang tidak diterima hadithnya (matruk al-hadith). (Lihat: Silsilah Ahadith al-Da’ifah, 4/70)
Penilaian Teks Hadith (matan)
Bagaimana pula dengan isi kandungan hadith (matan) tersebut? Sekiranya sanadnya lemah, apakah isi kandungnya (matan) juga tidak boleh diterima? Terdapat juga pengkritik hadith yang mempersoalkan mengapa hadith ini menumpukan hanya awal Ramadhan itu adalah rahmat? Malah mengapa pula hanya dipenghujungnya sahaja digelarkan sebagai “pembebasan dari neraka”?
Atas penilaian inilah dicadangkan agar satu hadith yang lebih sahih digunakan, sebagai gentian dalam menggalakan umat Islam memperkasakan amalan mereka dalam bulan Ramadhan. Hadith yang dimaksudkan adalah hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, dengan sanad yang sahih, yang menerangkan bahawa setiap malam Ramadhan itu adalah pembebasan dari neraka, iaitu setiap malamnya adalah rahmat dan maghfirah.
Rasulullah saw bersabda “Apabila berada pada awal, malam bulan Ramadan maka syaitan-syaitan dan jin yang durhaka dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup di mana tidak ada satu pintu pun di antara pintu-pintu itu yang dibuka, pintu-pintu syurga dibuka di mana tidak ada satu pintu pun di antara pintu-pintu itu yang ditutup, dan (malaikat) penyeru menyerukan: “Wahai orang yang menghendaki kebaikan datanglah dan wahai orang yang menghendaki kejahatan berhentilah dan Allah mengurniakan pembebasan manusia dari neraka, yang mana ianya (terjadi) setiap malam.”
Dr Ahmad Sanusi Azmi
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Pensyarah Kanan Fakulti Quran Sunnah USIM
Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/06/status-hadith-ramadhan-permulaannya-adalah-rahmat/
www.indahnyaislam.my