KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menyeru umat Islam agar bersatu hati, berpegang teguh kepada pedoman Ilahi dan menjadikan al-Quran sebagai panduan serta ikutan sepanjang hayat mereka.
Baginda bertitah ini kerana al-Quran yang diturunkan Allah sebagai mukjizat kepada Nabi Muhammad SAW merupakan bukti yang jelas akan kasih sayang Allah kepada seluruh manusia.
“Al-Quran adalah rahmat, al-Quran adalah petunjuk, al-Quran juga adalah peringatan, pelengkap, pembimbing, pedoman dan panduan kepada manusia di sepanjang zaman.
“Kandungan Al-Quran sentiasa relevan merentasi masa, melepasi tempat dan melangkaui apa jua masalah dan situasi. Kesucian al-Quran sentiasa dijamin dan dipelihara oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk manfaat manusia,” titah baginda.
Sultan Muhammad V bertitah demikian pada Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah bagi Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-59 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Sultan Muhammad V mengajak seluruh umat Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam melaksanakan peranan sebagai khalifah di bumi.
“Manfaatkanlah kekuatan akal anugerah Ilahi dan kebijaksanaan pemikiran manusia untuk mengolah dan mencari jalan terbaik mentadbir alam ini,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda bertitah pemilihan tema MTHQA ke-59, iaitu ‘Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’ membawa pengertian yang amat mendalam.
Baginda bertitah, bagi membina ukhuwah Islamiah, kesempurnaan Islam perlu dizahirkan dan keindahan agama tersebut perlu difahami serta kesyumulannya perlu dihayati.
“Jauhkanlah persengketaan dalam aliran pemikiran. Terimalah perbezaan itu sebagai sesuatu yang membina peradaban,” titah baginda.
Dalam pada itu, sambil mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah mempamerkan mutu bacaan membanggakan, baginda bertitah bahawa keputusan yang memihak kepada mana-mana negara bukanlah faktor utama.
Apa yang penting adalah kesediaan semua negara peserta untuk sama-sama menghayati isi kandungan al-Quran yang telah diperdengarkan, titah baginda.
“Sama-samalah kita hayati dan amalkan maksud ayat-ayat al-Quran yang telah dibacakan , semoga kesannya akan dapat dinikmati bersama,” titah baginda.
Sementara itu, qari dari Iran, Hamed Alizadeh Marghzari Gholamhassan dan qariah Malaysia, Normalina Alias diumumkan johan MTHQA.
Hamed Alizadeh, 26, memperoleh markah 89.96 peratus, manakala Normalina, 34, pula mendapat markah 91.52 peratus.
Kemenangan itu membolehkan masing-masing membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000 tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), wang tunai RM40,000, dan piala iringan.
Qari Malaysia, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad pula mendapat tempat ketiga dengan markah 89.09 peratus bagi kategori tilawah.
Bagi kategori menghafaz al-Quran, hafiz dari Senegal, Diallo Mouhamed Al Muoudjtaba dan hafizah dari Nigeria, Aishatu Musa Gale muncul johan dengan masing-masing memperoleh markah 94 peratus dan 92.76 peratus.
Kedua-dua johan hafiz dan hafizah menerima kepingan emas bernilai RM50,000 tajaan YAPEIM, piala iringan dan wang tunai RM20,000. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang bagi kategori tilawah dan hafazan. – Bernama
www.indahnyaislam.my