Aku sempat berkunjung ke Itali, sebuah negara Eropah yang cukup terkenal dengan sektor pelancongannya. Itali pada masa kini termasuk di antara negara yang begitu besar dengan penduduk melebihi 60 juta orang yang menjadikannya sebagai negara ke enam paling ramai penduduk di Eropah dan ke-23 teramai di dunia.
Manakala jumlah penduduk Muslimnya pula hanya berjumlah 1.8 juta orang dengan lapan buah masjid sahaja yang wujud di seluruh Itali.
Ini kerana agama Islam tidak diiktiraf sebagai agama rasmi di Itali, berbanding Kristian Roman Katolik. Perkara ini begitu berbeza dengan negara Eropah yang berada di sekitarnya seperti Perancis yang mempunyai lebih 2,000 buah masjid dan juga England yang mempunyai lebih dari 1,500 masjid.
Meskipun begitu, masih terdapat beberapa buah masjid yang boleh dijadikan pusat komuniti Islam di sana secara tidak rasmi.
Aku ke sana bersama syarikat Kembara Sufi Sdn Bhd sebagai ketua rombongan Kembara Sembilan Buah Negara Balkan. Kunjungan yang begitu menarik kerana bersifat lebih Islamik, mementingkan soal pemakanan yang lebih terjaga dari aspek halal dan haramnya serta setiap waktu solat kami akan berhenti untuk melakukan solat jamak musafir.
Mungkin ia menjadi suasana yang baharu bagi peserta rombongan kerana ada kalanya kami berhenti di tepian lebuh raya untuk menunaikan solat secara berjemaah. Malah ia juga mungkin menjadi pengalaman baharu bagi masyarakat Eropah, apabila melihat sendiri realiti ibadah umat Islam di tempat mereka.
Sewaktu sampai di Milan, aku sempat melawat beberapa tempat menarik di sana, seperti Istana Sforza (Castello Sforzesco) yang dibina sejak kurun ke-15 oleh seorang bangsawan di Milan, Francesco Sforza.
Istana tersebut terus diubahsuai dan diperbesarkan hingga menjadikannya di antara istana yang terluas di Eropah sekitar kurun ke-16 dan 17.
Seterusnya kami menuju ke dataran Piazza del Duomo atau Dataran Gereja yang dulunya terletak di tengah-tengah pusat bandar Milan. Gereja Besar Milan atau dalam bahasa Italinya disebut ringkas sebagai Duomo di Milano, manakala nama rasminya kini ialah Basilica Cattedrale Metropolitana di Santa Maria Nascente. Gereja ini antara yang terbesar di Itali dan kedua selepas gereja di Vatikan. Malah ia menjadi gereja ke lima terbesar di dunia. Pembinaannya mengambil masa enam kurun untuk disiapkan dan ketika penulis berada di sana, beberapa proses ubahsuai gereja dan dataran itu masih lagi berlangsung.
Keluasan dataran atau piazza di hadapan gereja besar Milan ini melebihi 17,000 meter persegi atau sekitar 183,000 kaki persegi dengan terletak di dalamnya beberapa buah bangunan komersial yang menjadi tarikan pelancong sehingga kini.
Kawalan keselamatan juga dilakukan dengan rapi oleh pihak keselamatan Itali kerana begitu ramai pelancong yang berada di situ setiap hari dan ia mungkin terdedah kepada serangan pengganas.
Pada bahagian tengah dataran itu terletak patung raja pertama Itali iaitu Victor Emmanuel II yang dibangunkan pada tahun 1896. Nama sebenarnya ialah Vittorio Emanuele Maria Alberto Eugenio Ferdinando Tommaso (14 Mac 1820 – 9 Januari 1878) yang menjadi raja Sardinia dari tahun 1849 hingga 17 Mac 1861 dan mendapat gelaran Raja Itali setelah berjaya menyatukan Itali buat pertama kalinya sejak dari kurun ke-6.
Gelaran Raja Itali ini diberikan kepadanya sehingga dia meninggal dunia pada tahun 1878. Rakyat Itali turut menggelarkannya sebagai Father of the Fatherland atau dalam bahasa Italinya disebut Padre della Patria. Begitulah sebahagian bangsa, mereka menyanjungi seseorang tokoh dengan membuat ukiran patung.
Teringat kisah yang disebutkan oleh Syeikh Dr Hasan bin Ali Al-Kettani yang menceritakan: “Ketika mana mangkatnya Raja Muhammad ke lima dari Maghribi pada tahun 1961, puteranya iaitu Raja Hassan II telah bertekad untuk membina sebuah tugu untuk diperingati di Pemakaman Hassan, Rabat. Seorang ulama Maghribi iaitu Syeikh Abd Al-Rahman Bin Al-Baqir Al-Kettani, menentang keras rancangan tersebut dengan bertindak mengumpulkan tandatangan ulama Maghribi dalam satu bantahan secara rasmi.
Sebaliknya mereka mencadangkan agar dibina sebuah masjid berdekatan kawasan tersebut agar diagungkan nama ALLAH di situ. Berikutan dengan itu, Raja Hassan II akur dengan bantahan tersebut lalu dibina sebuah masjid yang masih kekal di sana, ALLAH memelihara Maghribi daripada terbinanya tugu raja dan pemerintah sebagaimana di negara Arab yang lain.”
Manakala bangunan yang tersergam di belakang patung raja Victor Emmanuel II ialah istana Carminati (Palazzo Carminati) yang menghadap secara berhadapan Gereja Milan tersebut. Di bahagian sebelah kiri gereja besar Milan ini pula terletak bangunan Galleria Vittorio Emanuele II iaitu di antara kompleks membeli belah yang tertua di dunia.
Di sini dikatakan sebagai ‘syurga’ membeli belah bagi mereka yang mempunyai lebihan wang. Aku hanya berpusing di situ melihat gelagat sebahagian para pengunjung dari serata ceruk dunia. Ketika itu aku disapa oleh salah seorang peserta rombongan,
“Saya masuk juga dalam tu ustaz. Tapi sunyi je.”
“Tiada orang ke?” balasku.
“Memang tidak ada orang. Saya belek beg tangan kecil dalam tu. Harganya kalau dalam ringgit dekat-dekat RM20 ribu sebiji…. .”
Terlopong juga aku mendengarnya. Sememangnya inilah syurga orang yang ingin membeli belah dengan ‘lebihan’ harta yang ada. Bagi kita? Bersyukurlah dengan apa yang ada… Alhamdulillah!
Ustaz Mohd Fiki Che Hussain
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/fickry/islam-di-itali-1.676966
www.indahnyaislam.my