Semakin hampirnya kita dengan ketibaan tetamu Ramadan yang mulia ini, pelbagai persoalan yang timbul dari kalangan wanita berkaitan hukum-hakam khususnya yang berkaitan ibadah. Antaranya adalah persoalan berkaitan dengan amalan manakah yang lebih baik, sama ada seorang wanita itu solat tarawih berjemaah di masjid atau solat bersendirian di rumah?
Sememangnya solat seorang wanita Muslimah itu lebih afdal dan lebh baik di rumahnya. Rasulullah telah bersabda:
Maksudnya: “Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di biliknya, dan solat di tempat tidurnya lebih baik daripada solat di rumahnya”.
Terdapat juga hadis yang diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad bahawa Ummu Humaid Al-Sai’idi, isteri kepada Abu Humaid RA datang bertemu Nabi SAW dan berkata:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku suka solat bersamamu. Baginda menjawab: “Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di tempat tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku”
Kemudian Ummu Humaid meminta dibangunkan baginya masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di bilik tidurnya. Maka, beliau solat di sana sampai bertemu dengan Allah Azza Wa Jalla.
Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa semakin tertutup tempat solat wanita itu dan semakin jauh dari percampuran dengan lelaki, maka tempat tersebut adalah tempat yang afdal untuk wanita menunaikan solat.
Walaubagaimanapun, ini bukan bermakna suatu larangan untuk wanita pergi ke masjid. Bahkan terdapat hadis lain yang melarang para lelaki daripada menghalang isteri-isteri mereka keluar ke masjid. Rasulullah SAW bersabda daripada Ibnu Umar RA:
Maksudnya: “Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita pergi ke masjid-Nya” (Muttafaq Alaih)
Dan hadis ini terdapat sambungannya yang diriwayatkan oleh Abu Daud:
“…dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka”
Tempat yang terbaik bagi wanita adalah di rumah namun dalam masa yang sama, Islam tidak menghalang wanita untuk ke masjid. Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa terdapat garis panduan atau syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh wanita Muslimah untuk keluar menghadiri solat tarawih di masjid. Antaranya adalah:
1. Menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan.
Allah SWT berfirman: “Dan katakanlah kepada paraperempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya, memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya…” (Surah An-Nur: 31)
2. Tidak memakai wangi-wangian
“Janganlah kamu menegah wanita-wanitamu pergi ke masjid Allah. Dan hendaklah mereka keluar ke masjid tidak memakai wangi-wangian.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)
3. Mendapat keizinan suami
4. Tiada percampuran lelaki dan perempuan serta segera pulang ke rumah setelah selesai solat
Ummu Salamah RA menceritakan:para wanita yang hadir solat berjemaah apabila selesai salam, mereka segera bangkit meninggalkan masjid dan pulang ke rumah sementara Rasulullah dan para jemaah lelaki duduk sebentar (untuk memberi laluan kepada jemaah wanita beredar). Apabila Rasulullah bangkit, maka bangkit pula jemaah lelaki tersebut. (Riwayat Bukhari).
Sekiranya syarat-syarat ini dipatuhi dan kehadiran seseorang wanita tersebut tidak menimbulkan fitnah, maka dibolehkan untuk mereka ke masjid dan berlumba-lumba mengumpul pahala lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.
Dalam situasi tertentu, adalah digalakkan untuk wanita itu ke masjid sekiranya solat di masjid itu lebih meningkatkan kekhusyukan dan menambahkan penghayatan melalui bacaan imam apabila solat berjemaah berbanding apabila seseorang itu solat bersendirian di rumah. Selain itu, apabila wanita ke masjid, banyak manfaat yang diperoleh jika mereka mengikuti pengisian dan ceramah agama. Perlu dipastikan juga agar ketiadaannya di rumah kerana pergi ke masjid tidak memberi kesan terhadap tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.
Betapa indahnya Islam apabila agama ini tidak memberatkan wanita untuk ke masjid kerana solatnya di rumah sudah cukup untuk mendapatkan ganjaran. Bagi wanita yang mempunyai anak-anak kecil, pastinya solat di rumah lebih memberi keselesaan. Wanita juga tetap mendapat pahala seperti ke masjid walaupun tidak berkesempatan ke sana sekiranya mereka mendorong dan mempersiapkan para suami untuk ke masjid. Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa menunjukkan kepada kebaikan, ia mendapatkan pahala seperti orang yang mengerjakannya.” (Riwayat Muslim)
Dalam masa yang sama, tiada larangan untuk wanita ke masjid namun syarat-syarat yang telah ditetapkan perlulah dipatuhi. Hakikatnya, solat tarawih adalah amalan sunat yang boleh dilakukan di mana sahaja dan tidak semestinya dilakukan di masjid terutamanya bagi wanita.
Selamat merebut ganjaran kebaikan di bulan pesta ibadah yang bakal tiba!
Wallahua’lam.
Ustazah Nur Fatin Halil
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Sumber: http://muis.org.my/2017/05/tarawih-untuk-wanita-di-rumah-atau-di-masjid/
www.indahnyaislam.my
Informasi yang sangat2 jelas dan bermanfaat
Pencerahan yg jelas mengenai amalan yg di boleh kan utk wanita dan tidak menyalahi syara’