WAKAF TEMBESU – Seperti mana kebiasaan menyambut kedatangan bulan Ramadan tahun sebelumnya, amalan bergotong-royong membersihkan Surau Ar -Rashidin, Taman Perumahan Wakaf Tembesu (TPWT) dan sekitarnya diteruskan pada tahun ini.
Selain menyemarakkan sambutan bulan penuh keberkatan itu, aktiviti sedemikian secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan penduduk setempat.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) TPWT, Alias Abd Aziz berkata, surau bukan sahaja tempat untuk beribadah, sebaliknya juga turut berfungsi sebagai medan penyatuan.
“Walaupun gotong-royong membersih kawasan termasuk di dalam surau sering diadakan sebelum ini, namun kali ini lebih bersemangat dan meriah untuk sambut Ramadan.
“Jadi, kita harap penduduk tidak melepaskan peluang untuk memenuhi surau setiap malam bagi menunaikan solat sunat tarawih, sekali gus mengimarahkan lagi surau,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, di sini.
Menurut Alias lagi, selain membersihkan kawasan surau, program gotong-royong turut membuat pembersihkan di sekitar taman bagi mengelak daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, ia boleh mengundang pelbagai risiko termasuk ancaman demam denggi,” katanya. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my