Bolehkah kanak-kanak belum khatan dalam saf solat jemaah?

 

Adakah ada dalil atau nas yang menyebut tentang kanak-kanak yang belum berkhatan tidak boleh solat berjemaah dalam satu saf dengan orang yang telah berkhatan?

Persoalan yang perlu dijawab terlebih dahulu adalah adakah kanak-kanak yang belum berkhatan tidak boleh solat berjemaah dalam satu saf dengan orang yang telah berkhatan?

Jawapannya adalah kanak-kanak yang belum berkhatan dibenarkan solat berjemaah dalam satu saf dengan orang yang telah berkhatan. Ini adalah berdasarkan hadis hadis yang sebaliknya banyak menunjukkan perkara ini bukanlah termasuk dalam perkara yang membatalkan solat mahupun mengurangkan pahala solat berjemaah atau memutuskan saf Jemaah.

Hadis yang pertama, diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (nombor 822)

عن أنس بن مالك: أن جدته مليكة دعت رسول الله صلى الله عليه وسلم لطعام صنعته، فأكل منه، فقال (قوموا فلأصلي بكم). فقمت إلى حصير لنا قد اسود من طول ما لبس، فنضحته بماء، فقام رسول الله صلى الله عليه وسلم واليتيم معي، والعجوز من ورائنا، فصلى بنا ركعتين

Daripada Anas bin Malik katanya neneknya, Mulaikah telah menjemput Rasulullah s.a.w. untuk makan makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah s.a.w. makan sebahagaian darinya kemudian bersabda: “Bangunlah, saya akan mengimamkan sembahyang kamu. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama digunakan kemudian saya merenjiskannya dengan air. Rasulullah s.a.w. berdiri, seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek di belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat.”

Hadis kedua juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (nombor 823):

عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه قال: أقبلت راكبا على حمار أتان، وأنا يومئذ قد ناهزت الاحتلام، ورسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي بمنى إلى غير جدار، فمررت بين يدي بعض الصف، فنزلت وأرسلت الأتان ترتع، ودخلت في الصف، فلم ينكر ذلك علي أحد

Daripada Ibn Abbas katanya: “Saya datang dengan menunggang keldai betina, pada ketika itu belum lagi baligh (hampir baligh). Rasulullah s.a.w. sedang bersembahyang dengan tidak menghadap dinding. Lalu saya, melalui di hadapan beberapa saf dan saya turun dan membiarkan keldai itu memakan rumput. Saya masuk ke dalam saf dan seorangpun tidak membantah saya.

Rasulullah s.a.w. membiarkan Anas berdiri bersama dengan kanak-kanak. Jika dengan alasan kebersihan ( atau kenajisan ) kanak-kanak itu sembahyang Anas menjadi tidak sah tentu baginda akan menyusun saf dengan meletakkan Anas di kanannya kemudian anak yatim tersebut di belakangnya.

Begitu juga dalam hadis yang kedua, sahabat-sahabat tidak menegah Ibn Abbas menyertai saf itu dengan alasan beliau masih kecil. Ini menunjukkan bahawa menjadi amalan masyarakat pada ketika itu kanak-kanak tidak diasingkan daripada saf orang dewasa.

Hadis yang pertama itu juga diriwayatkan al-Tirmizi (nombor 234) dan beliau memberikan ulasannya:

قَالَ أَبُو عِيسَى: حَدِيثُ أَنَسٍ صَحيحٌ، وَالعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهلِ العِلمِ، قَالُوا: إِذَا كَانَ مَعَ الإِمَامِ رَجُلٌ وَامْرَأَةٌ، قَامَ الرَّجُلُ عَن يَمينِ الإِمَامِ وَالمَرْأَةُ خَلْفَهُمَا، وَقَدْ احْتَجَّ بَعْضُ النَّاسِ بِهَذَا الحَدِيثِ في إِجَازَةِ الصَّلاَةِ إِذَا كَانَ الرَّجُلُ خَلْفَ الصَّفِّ وَحْدَهُ، وَقَالُوا: إِنَّ الصَّبيِّ لَمْ تَكُن لَهُ صَلاَةٌ، وَكَانَ أَنَسٌ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحْدَهُ، وَلَيْسَ الأَمرُ عَلَى مَا ذَهْبُوا إِلَيهِ لأَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقَامَهُ مَعَ اليَتيمِ خَلْفَهُ، فَلَوْلاَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَعَلَ لِليَتِيمِ صَلاَة، لَمَا أَقَامَ اليَتِيمَ مَعَهُ وَلاَ أَقَامَهُ عَن يَمِينِهِ.

“Abu Isa (al-Tirmizi) berkata: Hadis Anas adalah sahih. Amalan mengikut hadis ini di sisi ahli ilmu iaitu apabila bersama imam itu ada seorang lelaki dan perempuan, maka lelaki itu hendaklah berdiri di sebelah kanan imam dan perempuan itu di belakang mereka berdua. Sesetengah orang mengharuskan sembahyang seorang lelaki berseorangan di belakang saf. Mereka berkata, sembahyang kanak-kanak itu tidak dikira dan Anas berseorangan di belakang Rasulullah s.a.w. Pendapat ini tidaklah tepat kerana kerana Rasulullah s.a.w. menempatkan Anas bersama anak yatim di belakang baginda. Andai kata baginda tidak mengira sembahyang anak yatim itu tentu baginda tidak menempatkannya bersamanya (Anas) dan tidak juga menempatkannya di kanannya (Anas).”

Daripada komentar al-Tirmizi itu dapat difahami bahawa sembahyang kanak-kanak tetap dikira sah dan sewajarnya dia diletakkan bersama saf orang lain. Kalaulah sembahyangnya tidak dikira sah disebabkan tidak diketahui dia menjaga kebersihan diri dan pakaian tentu sekali al-Tirmizi menganggap sebaliknya.

Dalam mensyarahkan hadis ini, Abdul Rahman Al-Mubarakpuri menyimpulkan bahawa kanak-kanak diletakkan dalam satu saf bersama orang lain. (Tuhfah al-Ahwazi, jil. 1, hal. 494)

Terdapat juga hadis-hadis yang sohih yang menunjukkan rasulullah SAW solat sambil mendukung cucunya.

عَنْ أَبِى قَتَادَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ  كَانَ يُصَلِّى وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ ص

Dari Abi Qatadah bahwa Rasulullah SAW pernah shalat sambil mendukung Umamah binti Zainab bin Rasululah SAW. (HR. Muslim)

عَنْ أَبِى قَتَادَةَ الأَنْصَارِىِّ قَالَ رَأَيْتُ النَّبِىَّ  يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِى الْعَاصِ وَهْىَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِىِّ  عَلَى عَاتِقِهِ فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنَ السُّجُودِ أَعَادَهَا

Dari Abi Qatadah radhiyallahuanhu berkata, Aku pernah melihat Nabi SAW mengimami orang solat, sedangkan Umamah binti Abil-Ash yang juga anak perempuan dari puteri beliau, Zainab berada pada dukungannya. Bila beliau SAW ruku’ anak itu diletakkannya dan bila beliau bangun dari sujud digendongnya kembali. (HR. Muslim)

عَنْ شَدَّادِ اللَّيْثِي  قَالَ : خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللهِ  فِي إِحْدَى صَلاتَيْ العَشِيِّ الظُّهرِ أَوِ العَصْرِ وَهُوَ حَامِلُ حَسَنٍ أَوْ حُسَيْنٍ فَتَقَدَّمَ النَّبِيُّ ص فَوَضَعَهُ ثُمَّ كَبَّرَ لِلصَّلاَةِ فَصَلىَّ فَسَجَدَ بَيْنَ ظَهْرَي صَلاَتِهِ سَجْدَةً أَطَالَهَا. قَالَ: إِنِّي رَفَعْتُ رَأْسِي فَإِذَا الصَّبِيُّ عَلىَ ظَهْرِ رَسُولِ اللهِ ص وَهُوَ سَاجِد. فَرَجَعْتُ فيِ سُجُوْدِي. فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللهِ ص الصَّلاَةَ قَالَ النَّاسُ: ياَ رَسُولَ اللهِ إِنَّكَ سَجَدْتَ بَيْنَ ظَهْرَي الصَّلاَةَ سَجْدَةً أَطَلْتَهَا حَتىَّ ظَنَنَّا أَنَّهُ قَدْ حَدَثَ أَمْرٌ أَوْ أَنَّهُ يُوحَى إِلَيْكَ. قَالَ: كُلُّ ذَلِكَ لَمْ يَكُنْ وَلَكِنَّ ابْنِي ارْتَحَلَنِي فَكَرِهْتُ أَنْ أُعَجِّلَهُ حَتىَّ يَقْضِيَ حاَجَتَهُ – رواه أحمد و النَّسائي والحاكم

Dari Syaddan Al-Laitsi radhiyallahuanhu berkata,”Rasulullah SAW keluar untuk shalat di siang hari entah zohor atau asar, sambil mendukung salah satu cucu beliau, entah Hasan atau Husain. Ketika sujud, beliau melakukannya panjang sekali. Lalu aku mengangkat kepalaku, ternyata ada anak kecil berada di atas punggung beliau SAW. Maka Aku kembali sujud. Ketika Rasulullah SAW telah selesai shalat, orang-orang bertanya,”Ya Rasulullah, Anda sujud lama sekali hingga kami mengira sesuatu telah terjadi atau turun wahyu”. Beliau SAW menjawab,”Semua itu tidak terjadi, tetapi anakku (cucuku) ini menunggangi aku, dan aku tidak ingin terburu-buru agar dia puas bermain. (HR. Ahmad, An-Nasai dan Al-Hakim)

Seorang sahabat, Al Barra` berkata, “Suatu ketika Rasulullah solat lalu Al Hasan dan Al Husain atau salah seorang daripada kedua-duanya datang dan naik di atas punggung beliau. Maka bila sujud beliau mengangkat kepalanya dengan tangan beliau dan memegangnya atau keduanya. Selesai solat beliau bersabda, “Sebaik-baik tunggangan adalah tunggangan kalian berdua.”

Menurut Dr Wabbah Az-Zuhaili pula, najis yang ada pada kemaluan kanak-kanak di dalam keadaan tidak berkhatan adalah najis yang tidak kelihatan yang berlainan daripada tahi, darah & najis yang kelihatan. Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu (Jilid 1, Halaman 576).

Walaubagaimanapun, dalam keadan ramai makmum atau jemaah yang besar, kanak-kanak tidak dibenarkan berada secara langsung di belakang imam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (No. 432):

عن أبي مسعود قال: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يمسح منا كبنا في الصلاة ويقول “استووا ولا تختلفوا. فتختلف قلوبكم. ليلني منكم أولو الأحلام والنهى. ثم الذين يلونهم. ثم الذين يلونهم” قال أبو مسعود: فأنتم اليوم أشد اختلافا.

“Luruskanlah dan janganlah kamu saling bertelingkahan lalu dengan itu hati-hati kamu tidak bersatu, hendaklah orang-orang yang cerdik pandai mengiringiku, kemudian yang mengikuti mereka dan yang mengikuti mereka.”

Imam Ahmad mengatakan makruh berjemaah bersama kanak-kanak di belakang imam kecuali yang sudah baligh. [Nailul Autar, 2:224].

Jumhur ulama fiqh menghukumkan hendaklah mendahului lelaki dewasa kemudian kanak-kanak, kemudian khunsa dan kemudian perempuan. Inilah yang utama dan yang afdalnya.

Syeikh Muhamad Idris Abdu Rauf Al-Marbawi menjelaskan dalam Mukhtasar Sohih At-Tirmidhi mengapakah kedudukan lelaki dewasa mesti mendahului kanak-kanak:

Pertama: Lelaki dewasa, berakal dan faham boleh mengingatkan imam jika ia terlupa.

Kedua: Boleh menggantikan imam jika tiba-tiba ia uzur.

Ketiga: Barulah diikuti oleh mereka yang kurang berakal, kurang berilmu dan kanak-kanak supaya mereka (orang dewasa) boleh menegur imam jika ia tersalah bacaan. (Bahru Al-Mazi, 2:111, Nailul Autar, 2:223)

Kesimpulannya, kanak-kanak yang belum berkhatan dibenarkan solat berjemaah dalam satu saf dengan orang yang telah berkhatan (dewasa) kerana dalil-dalil yang dinyatakan telah menjelaskan keharusan mereka bersama dalam satu saf orang dewasa. Namun demikian, kanak kanak tidak boleh diletakkan secara langsung di belakang imam ketika ramainya makmum. Jemaah masjid perlu mesra dengan kanak-kanak sekiranya mereka duduk bersama saf jemaah dewasa, dalam masa yang sama meletakkan mereka pada kedudukan yang lebih afdhal iaitu barisan saf selepas orang dewasa.

Rujukan:

  1. Tuhfah al-Ahwazi
  2. Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu
  3. Mukhtasar Sohih At-Tirmidhi
  4. Bahru Al-Mazi

Ust Khairul Fatihin Saedal Attas
Ahli Majlis Ulama ISMA

Sumber: https://muis.org.my/2015/02/kanak-kanak-belum-khatan-dalam-saf-solat-jemaah/

www.indahnyaislam.my

 
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts