Ramadan terakhir bersama dia

 

1 Ramadan
Ramadan pertama “kami” bersama. Namun apakan daya, “si dia” telah hampir sebulan menjalani rawatan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur. Memandangkan ini adalah kitaran cuti kerja suamiku, kami berdua menghabiskan masa bersamanya di hospital. Tiada selera makan. Tiada juga sisa kudrat untuk berbual sakan. Hanya senyum tawar dan kata-kata sebutir dua yang kadangkala diucapkannya.

2 Ramadan
Di penghujung waktu lawatan, si dia menyebut teringin untuk menjamah tomyam. Tanpa bertangguh lagi, tomyam yang diidam segera ditunaikan. Enggan untuk membelinya di kedai. Gigih kami berdua mencari bahan, menumpang dapur rumah ibu saudara di Kuala Lumpur demi menyiapkan semangkuk tomyam air tangan seorang menantu yang tanpa kami tahu, rupanya itulah terakhir kalinya dia menjamah masakanku.

3 Ramadan
Tomyam dijamah begitu bernafsu. Hati siapa yang tidak ceria, melihat sosok tubuh yang tiada selera makan berhari-hari mula berselera semula. Walau perlahan, suapan demi suapan dihulur ke mulutnya. Harapan kami semua berbunga, untuk melihat si dia kembali sihat bertenaga.

Petangnya, kami berdua meminta izin pulang ke Melaka. Dengan hasrat juga untuk singgah berbuka buat pertama kali bersama suami di rumah ibu ayahku sendiri di Seremban. Lagi pula kitaran bercuti suami sudah tiba pada hari terakhir, bermakna esoknya sudah perlu semula bekerja.

Tatkala bersalaman dan berpelukan sebelum pulang, ayat ini kedengaran di telinga kami, “jangan lama-lama ye..” Hairan. Namun seakan-akan tidak memahami apa yang dimaksudkan olehnya, kami mengatur langkah pulang. Meninggalkan si dia dalam jagaan iparku yang sedang bercuti dari kuliah.

4 Ramadan
Aku bangun bersahur dengan perut yang memulas. Entah kenapa tidak diketahui. Cuma menyangka ia adalah sakit biasa untuk seorang wanita yang baru hamil 8 minggu. Selepas subuh, perasaanku bercampur baur, antara suami yang hatinya tidak tenteram teringatkan “si dia” di Kuala Lumpur dan diri sendiri yang sedang menanggung kesakitan teramat, suami memutuskan untuk bertolak ke Kuala Lumpur semula.

Suamiku memutuskan untuk terlebih dahulu menghantar aku ke rumah ibu ayahku di Seremban memandangkan keadaan kesihatanku ketika itu.

Tiba di depan pagar rumah ibu ayah di Seremban, panggilan telefon mencemaskan dari iparku yang menjaga “si dia” diterima. “Si dia” baru sahaja pergi meninggalkan kami semua! Aku masih teringat jeritan suamiku ketika menerima berita sedih itu. Aku juga masih teringat bagaimana pandangannya menjadi kosong dan tubuhnya menjadi longlai di pintu kereta itu.

4 Ramadan, 17 tahun yang lalu masih segar dalam ingatan.

Walau tidak berkesempatan mengenali lama sosok tubuh “si dia”, ibu mertuaku yang tercinta, tetapi Allah memberi peluang untuk aku mengenalinya melalui zuriat-zuriatnya yang ditinggalkan.

Semangat kental arwah mak diwarisi ketiga-tiga anaknya. Bacaan Al Quran yang sangat baik bersama hafalan yang sering dilazimi, kulihat jelas tersemat kukuh dalam diri mereka. Aku berdoa agar peribadi hebat arwah mak ini mengalir ke dalam diri anak-anakku, cucu-cucunya! Amin.

Walau arwah mak tidak kaya harta, namun sedikit yang ditinggalkannya berkat hingga ke hari ini. Semoga arwah mak tenang di sana, bertemankan ilmu-ilmu Al Quran yang telah diajari kepada orang lain beserta doa dari anak-anaknya (dan zuriat keturunannya) yang soleh solehah.

Al- Fatihah.

Ummu Mus’ab
Seremban
3.00am, 4 Ramadan 1438H

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts