Peperangan ubah suasana Ramadan di Iraq

 

DOHA – “Jadi anda mahu tahu bagaimana Ramadan disambut di Iraq. Saya hanya boleh berkongsi suasana bulan mulia itu sebelum peperangan tercetus” kata Mohamed tersenyum sambil memandang isterinya, Hayfaa.

Beliau membesar di Baghdad di mana seluruh keluarga akan berkumpul untuk menikmati juadah iftar seperti kubbab (doh berinti savuri), threed (nasi istimewa) dan mahalabiya (puding).

“Ketika zaman kanak-kanak, kami akan mengosongkan botol jem untuk diisi lilin yang kemudiannya akan dibawa seperti tanglung. Kami juga akan pergi dari rumah ke rumah untuk meminta gula-gula,” katanya.

Menurutnya, golongan budak adalah yang paling teruja untuk menyambut Aidil Fitri yang mana mereka akan mengenakan pakaian baharu pada malam 1 Syawal.

“Semua kanak-kanak akan pergi ke karnival untuk bermain dan bergembira. Kami juga mendapat eidiyahs (duit raya),” ujarnya yang terpaksa meninggalkan Iraq selepas pencerobohan AS pada 2003.

Hayfaa memberitahu, tradisi Ramadan hampir pupus akibat konflik peperangan tersebut.

“Pada masa dahulu, keluarga sering berkumpul bersama, golongan isteri pula sibuk menyediakan maamoul (manisan kurma) dan kubbab. Keluarga saya menyediakan makanan dalam kuantiti yang banyak. Kadang-kadang kami terpaksa meminjam periuk dan kuali besar dari kedai kek berhampiran.

“Tujuan utamanya adalah untuk berkongsi makanan bersama,” jelasnya.

Banyak tradisi Ramadan makin pupus

Ketika konflik itu, bekalan elektrik sering terputus selama beberapa jam sehari hingga menyebabkan kebanyakan keluarga tidak dapat menyediakan juadah tradisional. Kerajaan Iraq turut mengenakan catuan bekalan makanan asas termasuk memberikan beras kualiti rendah yang berbau seperti plastik selepas siap dimasak.

Ramai keluarga tidak lagi mampu untuk menjamu tetamu kerana kebanyakan ahli keluarga yang menjadi pencari nafkah meringkuk di dalam penjara atau terkorban.

“Selepas pencerobohan AS, kami tidak lagi dapat merasai kegembiraan sambutan Ramadan, namun keluarga masih berkumpul untuk iftar bersama,” kata Mohamed.

 

Maamoul atau manisan kurma antara juadah yang sering disediakan ketika Ramadan.

Banyak tradisi Ramadan semakin pupus akibat masalah ekonomi dan situasi keselamatan yang tidak stabil.

Kebanyakan kos bahan masakan yang popular ketika Ramadan agak mahal dan ia menyebabkan ramai keluarga yang kehilangan harta benda akibat peperangan tidak berkemampuan untuk menyediakannya.

Mereka hanya mampu menggoreng tomato dan terung untuk berbuka puasa.

Mohamed turut mengimbas kembali program di stesen televisyen berjudul Your Iftar Is On Us yang mana kru terlibat akan membantu keluarga miskin di Baghdad.

“Kru stesen TV terbabit bawa ahli keluarga ke kedai beli makanan dan barang keperluan lain termasuk persediaan sambut Aidiltitri. Selain itu, individu berkemampuan turut sedia makanan untuk diagih kepada orang miskin,” ujarnya.

Tradisi lain yang masih diamal adalah permainan muhabis yang mana sekumpulan lelaki berkumpul di kafe dan salah seorang daripada mereka akan sembunyikan cincin dalam salah satu genggaman tangannya untuk diteka rakan yang lain.

 

Permainan muhabis (cincin) masih diamalkan golongan lelaki di Iraq.

“Ia salah satu tradisi penting ketika Ramadan. Mereka akan bermain beberapa pusingan dan kumpulan menang akan terima hadiah manisan sama ada jalebi atau baklava,” menurut Hayfaa.

Sebelum Aidilfitri, wanita kebiasaannya berkumpul dan memasak menu tradisional, klecha atau kaak (manisan dihasilkan daripada bijan dan berinti pes kurma).

Setiap orang akan membawa pelbagai bahan masakan berbeza.

“Apabila ia sudah siap disediakan, kami bawa ke kedai roti untuk dibakar dalam ketuhar besar. Tradisi itu diamal ketika Iraq berada di bawah kepungan selepas Perang Teluk ketika bekalan gula dicatu hingga menyebabkan banyak kedai manisan terpaksa ditutup,” katanya.

Jelasnya lagi, dia bawa bekalan gula itu kepada pembuat roti dan menukar dengan lokum (hidangan Turki) dan juadah manisan lain untuk dinikmati ketika Ramadan.

Mohamed dalam nada sedih mencelah, tiada satu pun rakyat Iraq mahu meninggalkan tanah air mereka berikutan ia situasi tidak dapat diduga kerana tiada penempatan tetap di luar Iraq. – al-Jazeera

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts