Turki bincang hantar tentera ke Qatar

 

ANKARA – Parlimen Turki hari ini dijangka membincangkan rang undang-undang membenarkan askarnya dikerahkan ke pangkalan tenteranya di Qatar, kata pegawai parti AKP.

Langkah itu dilihat untuk menyokong Qatar yang menghadapi krisis diplomatik dan perdagangan daripada lima negara Arab lain – Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Yaman dan Mesir.

Isnin lalu, kelima-lima negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha dan menutup ruang udara mereka kepada penerbangan komersial Qatar, atas tuduhan membantu militan. Qatar menafikan tuduhan itu.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, sebelum ini mengkritik tindakan lima negara Arab itu dengan berkata, sekatan dan boikot ke atas Qatar tidak menyelesaikan apa-apa masalah dan memberi jaminan akan melakukan apa yang terbaik bagi menyelesaikan masalah itu.

Ahli Parlimen Turki bercadang membincangkan dua isu undang-undang iaitu membenarkan tentera Turki dihantar ke Qatar dan meluluskan perjanjian antara kedua-dua negara mengenai kerjasama latihan ketenteraan.

Rang undang-undang itu dijangka diluluskan pada sidang Parlimen hari ini, tanpa sebarang masalah.

Turki menempatkan pangkalan tenteranya di Qatar, yang pertama di Timur Tengah, sebagai sebahagian daripada perjanjian ditandatangani pada 2014. Tahun lalu, Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu, melawat pangkalan yang menempatkan 150 anggota tenteranya.

Dijangkakan, kira-kira 3,000 askar Turki akan dihantar ke pangkalan itu. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts