BANGI – Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) dan Indahnya Islam akan menganjurkan program ‘Quran Sana Sini’ sempena Hari Nuzul Quran, Ahad ini di KL Sentral.
Pengarahnya, Abdul Samad Ashaari, berkata, program ini bertujuan untuk memberi pencerahan kepada masyarakat bahawa kitab suci al-Quran boleh dibaca di mana-mana sahaja tanpa mengira tempat dan waktu.
“Kalau ikut budaya orang Melayu, selalunya baca Quran di masjid ataupun lepas solat di rumah. Jadi, dengan program ini kita akan berbeza sedikit sebab kita nak membudayakan baca al-Quran di mana-mana.
“Kita nak membudayakan membaca al-Quran contohnya dalam komuter, pengangkutan awam, stesen bas dan sebagainya. Biasanya orang akan melayari Facebook, muzik, game dan lain-lain di dalam tren.
“Jadi kita nak didik masyarakat untuk membiasakan diri membaca al-Quran melalui aplikasi di dalam telefon pintar atau mushaf al-Quran,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas lanjut berkenaan pelaksanaan program itu, Abdul Samad yang juga Naib Yang DiPertua Isma Gombak itu berkata, program ini akan melibatkan beberapa cawangan antaranya, Gombak, Kuala Lumpur, Shah Alam dan Nilai.
“Lebih kurang jam 4 kita akan bergerak naik tren bermula dari KL Sentral dan kemudian setiap peserta dari cawangan yang tersebut akan bergerak ke destinasi masing-masing .
“Kita akan naik tren macam penumpang biasa, bawa mushaf dan baca al-Quran dalam tren,” katanya.
Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya turut berhajat untuk mengadakan program yang diberikan nama ‘Klinik Fatihah’ bermula jam 2 petang hingga 4 petang.
“Klinik Fatihah ini nanti kita akan buka booth di tempat orang ramai lalu lalang dan kemudiannya menjemput mereka singgah sebentar bagi menyemak bacaan surah al-Fatihahnya dari segi tajwid dan sebagainya. Buat masa ini, kita masih menunggu kelulusan dari KL Sentral, kalau berhasil kita akan laksanakan lepas solat Zohor,” katanya lagi.
www.indahnyaislam.my
Alhamdullillah, semoga budaya membaca AlQuran berterusan di kalangan generasi seterusnya.