ISTANBUL – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menggesa penarikan balik sepenuhnya sekatan terhadap Qatar yang dilaksanakan oleh negara-negara Teluk diketuai Arab Saudi dengan menegaskan Riyadh perlu meletakkan keutamaan persaudaraan berbanding permusuhan.
Menurut pemimpin itu, memulaukan Qatar tidak akan menyelesaikan masalah rantau itu selain berikrar untuk melakukan apa sahaja bagi menamatkan krisis rantau berkenaan.
“Kami tidak akan meninggalkan saudara kami, Qatar. Malah saya mempunyai permintaan khas kepada pentadbiran Arab Saudi. Anda adalah negara paling besar dan berkuasa di Teluk. Kami menggelar anda sebagai ‘Penjaga Dua Kota Suci’.
“Maka anda terutamanya perlu mengusahakan persaudaraan. Anda perlu menyatukan semula persaudaraan. Ini yang kami harapkan daripada Arab Saudi,” kata Erdogan kepada ahli-ahli Parti Pembangunan dan Keadilan (AK) semasa majlis berbuka puasa di sini semalam.
Berhubung sekatan itu, beliau mahu semuanya ditarik balik sepenuhnya, lapor portal Al-Jazeera.
Ditanya tentang senarai individu dan pertubuhan kebajikan di Qatar yang dikaitkan dengan keganasan seperti kenyataan bersama Arab Saudi, Bahrain, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Erdogan berkata, perkara itu tidak benar dan beliau mengetahui tentang pertubuhan terbabit.
Turki yang masih mengekalkan hubungan baik dengan Qatar termasuk beberapa negara jiran Teluk telah menawarkan bekalan makanan dan air bagi menampung kekurangan bekalan.
“Mereka yang merasa tidak selesa dengan pendirian kami terhadap saudara kami, Qatar dan membekalkan makanan terhadap negara itu, kami memohon maaf namun kami akan terus memberi sokongan kepada saudara kami,” katanya yang menambah Turki tidak pernah melihat Doha memberi sokongan kepada keganasan.
Pada Rabu lalu, Parlimen Turki mengesahkan dua perjanjian untuk menghantar pasukan tentera ke Qatar dan melatih pasukan keselamatan negara itu.
Perjanjian tersebut menyasarkan peningkatan kerjasama tentera Qatar yang telah ditandatangani pada April tahun lalu di Doha.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan pihaknya tidak terikat dengan senarai pengganas yang dikeluarkan Arab Saudi sebaliknya hanya terikat dengan senarai sekatan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan PBB. – Utusan
www.indahnyaislam.my