KOTA BHARU – Tokoh perbandingan agama tersohor dunia, Dr Zakir Naik turut diundang menghadiri Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia kali ke-4 yang dijadual diadakan di Kota Bharu, Kelantan, 20 hingga 22 Julai ini.
Selain beliau, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, penasihat agama kerajaan Brunei dan pemimpin gerakan Islam Indonesia juga diundang.
Program yang diberi nama Ijtimak Kelantan 2017 itu dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Kesatuan Ulama Sedunia.
Ijtimak tersebut akan diadakan di Dataran Stadium, Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Dewan Teratai Kota Darulnaim dan Kelantan Trade Centre (KTC).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sehingga semalam seramai 24 tokoh agama dan pemimpin gerakan Islam negara luar menyatakan persetujuan menghadiri ijtimak tersebut.
“Antaranya dari Afghanistan, Palestin, Nepal, Thailand, Indonesia, Brunei, Tunisia dan Turki.
“Manakala badan bukan kerajaan (NGO) dari luar negara pula sebanyak 50 termasuk dari Jepun, Hong Kong dan Indonesia. Sebanyak 35 lagi NGO tempatan dari seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelaras Jawatankuasa Pelaksanaan Ijtimak Kelantan 2017, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ijtimak itu bukan sekadar menghimpun pendokong Islam di negara ini, malah turut mengundang ulama negara luar.
Katanya, ijtimak terbabit bakal menghimpun kira-kira 100,000 pendukung Islam. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
✌✌