Subhanallah… ini contoh terbaik

 

“SITUASI itu mengajar saya supaya jangan meninggalkan solat. Sedangkan kanak-kanak yang secara lumrahnya suka berlari dan bermain pun, masih menunaikan kewajipan,”kata Shahrin Nasir, 20, mengenai gambar seorang kanak-kanak lelaki dilihat menjaga adiknya yang masih bayi sementara menunggu ayahnya selesai solat di masjid, sebelum dia pula menunaikan solat.

Gambar itu yang tular sejak 8 Jun lalu sehingga dikongsi sebanyak 7,401 kali di Facebook.

Shahrin berkata, dia terlihat kanak-kanak terbabit menemani adiknya ketika Shahrin mahu menunaikan solat Asar di Masjid Waqaff Ahmad Bin Daing Mapata di Tawau, Sabah.

“Ketika itu saya terlewat keluar daripada pejabat dan terlepas untuk solat berjemaah. Apabila saya tiba di masjid berkenaan dan mahu mengambil wuduk, saya terlihat kanak-kanak terbabit duduk di belakang saf sambil menemani adiknya.

“Risau akan keadaan mereka, saya memilih untuk duduk sebentar sambil memerhatikan mereka dari jauh. Ketika itulah saya merakam gelagat mereka. Kanak-kanak yang berusia sekitar tiga tahun itu tidak berlari dan bermain seperti kanak-kanak lain, tetapi dia setia di sisi adiknya dan ada kalanya dia mencium dan bergurau dengan adiknya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tambah Shahrin, dia segera menunaikan solat Asar sebaik saja ayah kanak-kanak terbabit selesai solat.

“Apa yang buat saya terharu, sebaik saja saya selesai solat, saya terlihat kanak-kanak terbabit pula menunaikan solat, manakala ayahnya menjaga adik yang masih bayi.

 

 

“Situasi itu sangat indah apabila keluarga terbabit berjaya mengajar anak mereka untuk mentauhidkan Allah SWT,” katanya menambah tidak pernah melihat keluarga itu sebelum ini.

“Saya sering menunaikan solat di masjid itu. Namun, itu kali pertama saya melihat keluarga terbabit solat berjemaah di situ,” katanya.

Menurut Shahrin, dia berharap dapat bertemu semula dengan keluarga terbabit untuk memohon maaf mengambil gambar kanak-kanak terbabit tanpa izin.

“Jika diizinkan Allah SWT, saya mahu berjumpa semula dengan keluarga terbabit untuk memohon maaf. Saya tidak sempat menegur ayahnya kerana ketika itu dia sedang berbual dengan jemaah lain dan saya tidak mahu mengganggu.

“Tujuan saya mengambil gambar terbabit hanya untuk berkongsi dengan keluarga. Tetapi tak sangka pula ia akan tersebar dan menjadi tular,” katanya. – Harian Metro

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts