KASHGAR (CHINA) – Papan tanda mengumumkan tidak ada sesiapa yang dibenar bersolat di tempat awam atau menyimpan janggut sebelum berumur 50 tahun, manakala kakitangan kerajaan pula dilarang berpuasa pada bulan Ramadan.
Sedang kerajaan komunis China bangga dengan pelaksanaan One Belt One Road (OBOR) di serata dunia Islam, mereka sebaliknya mendiskriminasi dan memberi tekanan kepada Muslim Uighur, sehingga untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap agama dan kepercayaan, dihalang.
Malah, untuk memasuki masjid pusat di bandar Kashgar di wilayah Xinjiang, umat Islam mesti melalui alat pengesan logam di bawah kawalan ketat anggota polis.
Sekatan yang semakin ketat terus dikenakan ke atas penduduk Uighur di kawasan Xinjiang hingga kadang kala mencetuskan ketegangan. Janggut diharamkan, begitu juga solat di tempat awam turut dilarang.
Untuk beberapa tahun, dataran di luar Masjid Kashgar dipenuhi umat Islam yang hendak bersolat, terutama pada Hari Raya Puasa, tetapi kini tiada lagi.
Tahun ini, tidak ramai yang hadir untuk solat sunat Aidilfitri. Penduduk memberitahu ianya disebabkan kawalan ketat dan sekatan pemeriksaan dilakukan oleh kerajaan, menghalang orang ramai memasuki Kashgar bagi menunaikan solat Aidilfitri.
Beijing bagaimanapun, mendakwa larangan dan kehadiran ramai anggota polis bertujuan mengawal penyebaran ekstremisme dan gerakan pemisah, tetapi penganalisis memberi amaran bahawa Xinjiang bakal menjadi ‘penjara terbuka’.
China pada asasnya mewujudkan ‘negara polis’ yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kata pakar mengenai keselamatan di China dari Australia’s La Trobe University, James Leibold.
Kerajaan komunis China mula menguatkuasakan larangan berkaitan agama Islam di Xinjiang pada 2009, berikutan rusuhan besar yang mengorbankan kira-kira 200 orang awam di ibu negeri wilayah Xinjiang – Urumqi.
Pada Mac lalu, Presiden Xi Jinping mengarahkan pasukan keselamatan membina ‘dinding keluli yang besar’ di sekeliling wilayah itu selepas pemuda Uighur yang menyertai IS di Iraq mendakwa akan pulang untuk ‘mengalirkan darah ibarat sungai’ di wilayah itu.
Sepanjang tahun lalu, Beijing menghantar ribuan anggota pasukan keselamatan, mendirikan balai polis berhampiran sekatan jalan raya dan mengenakan peraturan tegas kononnya bagi menghapuskan ekstremis.
Di Tashkurgan berdekatan sempadan Pakistan, pihak berkuasa menutup restoran halal sebagai hukuman keengganan pemiliknya menyediakan makanan ketika cuti.
Banyak kamera pengawasan dipasang di masjid bagi memantau umat Islam, termasuk kamera yang dihalakan terus ke tempat imam.
China telah lama mengaitkan tindakan mereka terhadap umat Islam Uighur sebagai usaha memerangi keganasan antarabangsa, dengan alasan bahawa gerakan pemisah akan bekerjasama dengan pelampau luar, seperti Al-Qaeda.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, umat Islam Uighur menjadi mangsa kekejaman kerajaan komunis China, menyebabkan puluhan orang terbunuh. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my