ANKARA – Dalam ucapan penuh bersemangat di hadapan lautan manusia yang hadir sambil mengibarkan bendera di sini, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, pelaku rampasan kuasa yang digagalkan pada 15 Julai, 2016 tidak akan berupaya meruntuhkan negara ini dan menjejaskan kebebasan rakyatnya.
Pemimpin Turki itu menegaskan perkara tersebut semasa beliau menyertai rakyatnya pada Sabtu dan awal Ahad pada upacara khas di sini dan di Istanbul bersempena genap setahun kegagalan cubaan rampasan kuasa itu, yang diadakan bagi memperingati insiden itu.
Erdogan turut memberikan amaran keras kepada Pertubuhan Pengganas Fethullah Gulen (Feto) dan pemimpinnya yang tinggal di Amerika Syarikat Fethullah Gulen, yang dituduh menjadi dalang cubaan rampasan kuasa itu.
“Kamu mungkin fikir yang kamu berjaya melarikan diri tetapi kamu tiada tempat untuk bersembunyi walaupun kamu telah berjaya melakukan perjalanan ke Pennsylvania,” katanya sambil disambut sorakan orang ramai yang berhimpun di perkarangan Parlimen, yang telah diserang semasa cubaan rampasan kuasa itu.
Rampasan kuasa oleh pengikut Gulen yang menyusup masuk ke dalam angkatan tentera dengan menggunakan peralatan ketenteraan telah berjaya dipatahkan apabila rakyat biasa Turki bangkit menentang kumpulan yang cuba merampas kuasa dengan menjalankan rancangan mereka itu di sini dan di Istanbul.
“Kamu tidak akan berjaya, kamu tidak mungkin dapat memecahbelahkan kami atau menurunkan bendera kami atau memusnahkan negara kami,” tegas presiden kepada perancang rampasan kuasa itu dalam ucapannya yang disahut dengan laungan sokongan penuh bersemangat daripada orang ramai.
Erdogan sendiri menjadi sasaran cubaan bunuh semasa pemberontakan kilat itu yang mengakibatkan 250 orang terkorban dan lebih 2,000 cedera.
Presiden turut menyampaikan mesej khas kepada kaum ibu yang kehilangan anak lelaki dan perempuan dalam cubaan rampasan kuasa itu.
“Tolong lap air mata kamu. Jangan terus tangisi mereka yang tidak akan kembali lagi. Tetapi kami akan berusaha membawa pengkhianat-pengkhianat ke hadapan kamu,” katanya.
Erdogan turut merakamkan penghargaan terhadap mereka yang terkorban dalam serangan keganasan di Turki.
“Kita tidak akan lupakan mereka yang telah kita kehilangan. Kita semua bersaudara dengan mereka yang mati syahid dan mereka yang cedera,’” kata Erdogan.
Presiden turut berjanji bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba melakukan tindakan keganasan serupa.
Upacara memperingati Ankara itu dimulakan dengan lagu kebangsaan dimainkan dan disusuli bacaan ayat suci al-Quran penuh syahdu dengan orang ramai bertafakur penuh takzim.
Terdahulu, Erdogan menyertai upacara sama di Istanbul yang berlangsung pada 15 Julai di mercu tanda ikonik bandaraya itu Martyrs Bridge sebagai menghormati mereka yang terkorban dalam rampasan kuasa yang berjaya dipatahkan itu.
Kumpulan yang cuba merampas kuasa itu telah membuat sekatan di jambatan itu di Selat Bosphorus, menyebabkan berlaku konfontasi bersemuka dengan rakyat Turki yang memperjuangkan demokrasi.
Monumen-monumen bagi memperingati mereka yang gugur semasa cubaan rampasan kuasa itu turut dibina berhampiran tempat kejadian di Martyrs Bridge di Istanbul dan dalam kawasan kompleks Istana Presiden di sini. – Bernama
www.indahnyaislam.my