DOHA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, menamatkan lawatan dua hari ke Asia Barat dalam usaha untuk menenangkan krisis di rantau itu tanpa petanda ia membuahkan sebarang hasil.
Ankara adalah sekutu terkuat Qatar ketika negara itu berdepan tuntutan empat negara Arab, hingga cepat bertindak menghantar tentera di pangkalannya di Doha sebagai tanda sokongan.
Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir, memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan dengan Qatar pada Jun lalu, menuduh negara itu menyokong kumpulan militan. Doha menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu.
Empat negara Arab itu mendesak Qatar mengurangkan hubungan dengan Iran, menutup pangkalan tentera Turki dan rangkaian stesen TV al-Jazeera yang dianggap mengancam kerajaan mereka.
Kuwait dan Barat berusaha untuk menamatkan krisis itu, tetapi setakat ini masih belum berhasil.
Agensi berita Qatar (QNA) melaporkan, pemimpin negara itu, Sheikh Tamim al Thani, mendedahkan perkembangan serantau, terutama krisis Asia Barat dan usaha untuk menghentikan krisis secara diplomatik dalam pertemuannya dengan Erdogan.
QNA melaporkan, perbincangan antara dua pemimpin itu juga menyentuh mengenai usaha bersama untuk memerangi keganasan, mengkaji kerjasama pertahanan dan ekonomi. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my