JERUSALEM – Beribu-ribu umat Islam keluar ke jalan-jalan raya dan di sekitar Masjid Al-Aqsa selepas rejim Zionis membuka sekatan dan menanggalkan peralatan pengawasan yang dipasang di masjid itu, malam tadi.
Serentak itu, Jabatan Wakaf Masjid Al-Aqsa mengeluarkan kenyataan menarik balik pemboikotan dan membenarkan umat Islam menunaikan solat di dalam Masjid Al-Aqsa.
Pegawai jabatan itu yang menguruskan hal ehwal Masjidil Aqsa berkata, umat Islam perlu bersyukur atas kemenangan itu selepas rejim Israel membuka sekatan dan pelbagai alat pengawasan.
“Kami dapat menunaikan semula solat dalam Masjid Al-Aqsa. Rejim Israel telah berusaha selama beberapa dekad untuk mencabuli kompleks Masjid al-Aqsa.
“Kami benar-benar menghargai umat Islam yang berkumpul di sekitar masjid itu setiap hari sebagai membantah tindakan rejim mengadakan kawalan ketat dan memasang peralatan pengawasan,” kata Pengarah Majlis Wakaf, Abdel-Azeem Salhab.
Askar rejim itu sebelum ini memasang pagar, pintu dan perancah di mana kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di pintu masuk kawasan Masjidil Aqsa, dengan alasan keselamatan selepas serangan yang mengorbankan dua anggota polis mereka pada 14 Julai lalu.
Rejim Israel turut memasang alat pengesan logam di semua pintu masuk ke masjid berkenaan yang menjadi masjid suci ketiga Islam.
Berikutan itu, ribuan umat Islam Palestin mengadakan bantahan kerana mereka yakin tindakan Israel itu adalah satu pencerobohan untuk mengawal tanah suci itu.
“Kami mengorbankan segala-galanya. Semua orang mengorbankan apa saja demi Al-Aqsa. Kami mesti menang dan akhirnya kemenangan muncul juga. Jerusalem ialah tanah kami dan kami tidak boleh hidup tanpa Al-Aqsa,” kata seorang penduduk, Ahmed Abulawa. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my