Nasib muslim Uighur dalam tahanan Mesir tidak diketahui

 

KAHERAH – Nasib pelajar dan penduduk minoriti Islam Uighur yang ditangkap pihak berkuasa Mesir atas desakan Kerajaan China tidak diketahui setakat hari ini.

Seorang pelajar Uighur, Sakhr al-Din Razi, 22 berkata, beliau adalah antara yang berjaya melepaskan diri daripada ditangkap pihak berkuasa Mesir.

Katanya, beberapa tahanan dikumpulkan di dalam penjara Tora di pinggir Kaherah, untuk dihantar pulang ke China.

“Mereka dipecahkan di beberapa balai polis antaranya Nuzha, Heliopolis dan Ayn al-Shams. Kini mereka berada di Tora, di mana hubungan komunikasi terputus,” katanya.

Sementara itu, sumber lain memberitahu Al Jazeera, jumlah penangkapan semua penduduk Uighur masih belum dikenal pasti ekoran pihak berkuasa Mesir tidak mengeluarkan butiran lanjut.

“Tahanan yang ditangkap di Lapangan Terbang Kaherah, Alexendria dan Hurdaga dikesan sekitar 30 orang, tetapi mungkin ada sekurang-kurangnya 100 lagi yang tidak diketahui lokasi mereka.

“Ramai pelajar telah hilang, kita tidak tahu sama ada dengan pilihan (melarikan diri) atau kerajaan menahan mereka di lokasi yang tidak diketahui,” katanya.

Kerajaan komunis China mula menguatkuasakan larangan berkaitan agama Islam di Xinjiang pada 2009, berikutan rusuhan besar yang mengorbankan kira-kira 200 orang awam di ibu negeri wilayah Xinjiang – Urumqi.

Pada Mac lalu, Presiden Xi Jinping mengarahkan pasukan keselamatan membina ‘dinding keluli yang besar’ di sekeliling wilayah itu selepas pemuda Uighur yang menyertai IS di Iraq mendakwa akan pulang untuk ‘mengalirkan darah ibarat sungai’ di wilayah itu.

Sepanjang tahun lalu, Beijing menghantar ribuan anggota pasukan keselamatan, mendirikan balai polis berhampiran sekatan jalan raya dan mengenakan peraturan tegas kononnya bagi menghapuskan ekstremis.

Di Tashkurgan berdekatan sempadan Pakistan pula, pihak berkuasa menutup restoran halal sebagai hukuman keengganan pemiliknya menyediakan makanan ketika cuti.

Banyak kamera pengawasan dipasang di masjid bagi memantau umat Islam, termasuk kamera yang dihalakan terus ke tempat imam.

China telah lama mengaitkan tindakan mereka terhadap umat Islam Uighur sebagai usaha memerangi keganasan antarabangsa, dengan alasan bahawa gerakan pemisah akan bekerjasama dengan pelampau luar, seperti Al-Qaeda.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, umat Islam Uighur menjadi mangsa kekejaman kerajaan komunis China, menyebabkan puluhan orang terbunuh. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts