BANGI – Isu menutup malu dan aib bukan alasan yang kuat untuk anak tidak sah taraf ber’bin’ atau ‘bintikan’ bapa biologinya, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Katanya, mudarat menyembunyikan nasab anak tak sah taraf adalah lebih besar berbanding menjaga malu dan aib anak itu, kerana ia membabitkan pelbagai perkara termasuk pembahagian faraid dan wali nikah bagi wanita.
Bagaimanapun jelas beliau, punca utama masalah itu adalah ekoran tersebarnya budaya zina yang tidak terkawal di negara ini.
“Isu penamaan anak ini hanyalah simptom bagi masalah zina yang mengakar sebagai punca dalam masyarakat. Betapa lemahnya pendidikan seks yang berasaskan Islam dan betapa mudahnya akses kepada bahan-bahan lucah dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang ajnabi.
“Jika kita mengambil langkah jangka pendek seperti ini, ianya seperti mengambus masalah yang sebenar ke bawah tikar yang akhirnya akan terluah juga,” katanya di ruangan Bayan Linnas, yang disiarkan di laman web Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini.
Dr Zulkifli berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 31 Julai lepas, memutuskan bahawa anak yang tidak sah taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada ayah biologinya, seperti mana yang diputuskan oleh Jumhur ulama.
Sehubungan itu, ia hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau kepada nama-nama Allah yang mulia dan sebagaimana yang dicadangkan sebelum ini.
“Mesyuarat juga bersetuju bahawa asas yang digunapakai ialah maslahah umum (yakni implikasi zina yang merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (yakni aib yang mungkin dialami oleh anak zina).
“Ini bertepatan dengan Maqasid al-Syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat penting) di dalam Islam,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan pasangan yang terjebak zina supaya bernikah secepat mungkin, sebagai bentuk pemulihan diri dan bertaubat kepada Allah.
Beliau menjelaskan, ulama yang membenarkan nisbah anak zina sendiri mensyaratkan bahawa ibu bapa terlibat dosa itu dihukum dengan 100 kali rotan sebelum mereka boleh menasabkan anak tersebut kepada bapa kandungnya.
“Ini kerana zina itu seperti mana yang ditekan dalam al-Quran adalah fahisyah, benda yang tersangat keji dan merosakkan masyarakat.
“Maka, masyarakat perlu disedarkan dengan melihat hukuman rotan itu sendiri sebagai pengajaran daripada Allah atas kerosakan yang berlaku dan menghindari keluarga dan kerabat mereka daripada berbuat zina. Dengan itu, zina yang menjadi punca kepada masalah ini dapat dihilangkan, atau diminimumkan, seterusnya menghilangkan masalah anak zina, dan isu malu yang disebut-sebut.
“Sikap melarikan diri dan menyembunyikan status hanya akan menambah masalah kemudian hari dan memakan integriti masyarakat Islam itu sendiri,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya anak tak sah taraf dinisbahkan kepada Abdullah atau mana-mana nama yang dimulakan dengan Abdul.
“Nasab anak sabit kepada ibunya dalam semua keadaan samada kelahiran syar’ie atau tidak seperti ‘Isa bin Maryam, Muhammad bin bintu Syafie. Nasab anak dinisbahkan kepada ayahnya seperti ‘Ziyad bin Abihi’.
“Kami tegaskan di sini bahawa anak yang tidak sah taraf bukanlah hina dan tiadalah ia berdosa kerana kesilapan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya.
“Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Justeru, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa yang paling bertakwa antara kita,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my