Henti merokok atau lepas jawatan pegawai masjid

 

MERSING – Semua pegawai masjid di negeri ini terutama imam, bilal dan noja perlu bebas daripada segala perkara yang haram dan makruh termasuk merokok.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Noh Gadut berkata, jika pegawai masjid enggan meninggalkan perkara haram itu, mereka perlu bersedia melepaskan jawatan masing-masing.

“Semua pegawai masjid, terutama imam, bilal dan noja mesti ada disiplin serta etikanya. Antaranya meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh ALLAH SWT sama ada yang haram ataupun makruh termasuk merokok.

 “Kalau tak sanggup (berhenti merokok), maka kita minta dia lepaskan jawatan. Apatah lagi jawatan ini bergaji, kita beri elaun. Jadi, tidak sewajarnya berlaku,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas Program Jelajah Kesedaran, Keprihatinan dan Kebertanggungjawab Beragama di Masjid Felda Nitar 02, minggu lalu.

Sebelumnya, dalam ceramah di masjid tersebut beliau sempat menegaskan soal hukum merokok yang haram dan memberi amaran kepada imam-imam masjid di negeri ini agar berhenti melakukan perkara itu.

“Merokok apa hukumnya? Haram. Apa itu haram? Kalau buat berdosa dan boleh masuk neraka. Tapi imam hisap rokok.

“Saya beri amaran, kalau tak (berhenti), kita minta letak jawatan. Begitu juga penerima bantuan, kalau merokok kita tarik balik kecuali bertaubat,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut kepada Sinar Harian, Noh berkata, imam merupakan individu yang mengetuai solat sewajarnya perlu lebih baik daripada makmum.

“Imam orang yang ke depan, yang mendoakan, mengimamkan kita maka tidak wajar sekali perkara ini boleh berlaku.

“Orang yang menjadi ikon, ke depan tentulah perlu menjadi lebih baik daripada orang yang belakang. Dari segi bacaan, akhlak, disiplin dan etikanya,” katanya.

Tegasnya, kadi daerah bertanggungjawab memberi nasihat kepada golongan ini agar mereka meninggalkan perbuatan haram itu.

“Mungkin ada kes yang terpencil tapi kebiasaannya apabila kita dapat tahu, kita akan melalui kadi daerah untuk panggil dia, bagi nasihat dan pencerahan supaya meninggalkan perkara-perkara seperti itu (merokok).

“Kalau tidak (berhenti merokok) juga, maka akan dipanggil sekali lagi untuk membuat perakuan. Kita ada akujanji tapi setelah diberi ingatan, berlaku juga maka kita minta dia menarik diri daripada jawatan tersebut. Biasanya apabila sudah dipanggil, mereka patuh dan akur,” katanya.

Tambahnya, imam umpama kereta api, jika kepalanya jatuh, maka belakangnya akan jatuh.

“Mungkin ada kita jumpa (kes) tapi banyak kes terpencil dan nampaknya telah dapat diperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.

Program anjuran Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor itu bagi memberi penjelasan mengenai Waqaf Saham Larkin Sentral yang dilancarkan Johor Corporation, baru-baru ini. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts